Lebih 15 juta dos vaksin Covid-19 sudah diberikan sehingga semalam

Walaupun umat Islam di Malaysia menyambut Aidiladha semalam, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kekal digerakkan oleh pasukan petugas barisan hadapan, bagi mencapai imuniti kelompok dalam memerangi wabak Covid-19.

Terkini, jumlah pemberian vaksin Covid-19 di seluruh negara melepasi angka 15 juta setelah 299,593 dos suntikan diberikan pada Hari Raya Haji, semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Secara keseluruhannya sebanyak 15,071,814 dos suntikan diberikan sejak program vaksinasi dilancarkan awal tahun ini, dengan 10,302,905 individu menerima dos pertama, manakala 4,769,909 lagi melengkapkan dua dos masing-masing, katanya.

Beliau berkata pada Aidiladha semalam sebanyak 299,593 dos suntikan vaksin Covid-19 diberikan merangkumi 204,084 dos pertama dan 95,529 dos kedua.

Selangor merekodkan jumlah pemberian vaksin tertinggi semalam dengan 107,444 dos suntikan membabitkan 82,892 dos pertama dan 24,552 dos kedua, diikuti Kuala Lumpur sebanyak 69,493 dos (43,857 dos pertama dan 25,636 dos kedua).

Sarawak pula merekodkan 46,606 suntikan membabitkan 12,336 dos pertama dan 34,270 dos kedua, sementara Johor mencatatkan 25,731 dos suntikan pertama dan 2,319 individu melengkapkan dos kedua mereka.

Secara keseluruhan daripada lebih 15 juta dos suntikan itu, Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan pemberian tertinggi vaksin Covid-19 iaitu sebanyak 5,470,472 dos membabitkan 4,140,969 dos pertama dan 1,329,503 dos kedua.

Semalam, program imunisasi negara merekodkan jumlah tertinggi kedua apabila 424,936 dos suntikan vaksin Covid-19 diberikan di seluruh negara bagi dos pertama dan kedua.

Jumlah tertinggi yang pernah direkodkan sebelum ini ialah pada 14 Julai lalu membabitkan pemberian 434,828 dos suntikan vaksin.

BERITA BERKAIT
POPULAR