Lebih 15.53 juta terima dos ketiga

Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memaklumkan sejak 1 Oktober 2021 hingga semalam (22 Mac 2022), seramai 15,530,830 atau 66.0 peratus individu dewasa telah menerima dos penggalak.

Semalam sahaja seramai 21,375 individu dewasa menerima suntikan dos ketiga itu, ketika amaran terus dikeluarkan berkaitan penularan varian Omicron versi BA.2 yang paling pantas menjangkiti walaupun kesannya tidak teruk.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan orang ramai supaya mengambil suntikan vaksin Covid-19, termasuk dos penggalak, susulan peningkatan varian Omicron BA.2.

Sementara itu, seramai 22,945,101 atau 97.5 peratus daripada populasi dewasa juga telah lengkap divaksinasi, manakala 23,221,040 atau 98.7 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Sejak 8 September tahun lalu hingga semalam juga, seramai 2,845,415 atau 91.5 peratus remaja berusia antara 12 dan 17 tahun telah lengkap divaksinasi, manakala 2,943,210 atau 94.6 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Manakala bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) yang dilancarkan 3 Februari lalu hingga semalam, seramai 1,272,121 atau 35.8 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah menerima dos pertama masing-masing.

Keseluruhannya sebanyak 68,546,897 dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada populasi Malaysia, termasuk rakyat asing, dengan 25,790,516 atau 79.0 peratus telah lengkap divaksinasi, dan 27,436,371 atau 84.0 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Sebelum ini, Dr Noor Hisham memaklumkan dalam tempoh 1 Mac hingga 17 Mac lalu kes membabitkan varian Omicron BA.2 meningkat kepada 27.1 peratus berbanding Januari dan Februari antara 0.9 peratus dan 2.7 peratus.

“KKM menjangkakan, besar kemungkinan varian Omicron sub-lineage BA.2 akan menjadi varian yang dominan di Malaysia. Justeru, orang ramai perlu berwaspada dengan peningkatan penularan varian Omicron BA.2.

“Pada masa sama, kita juga perlu khuatir kepada penularan berpanjangan varian Delta yang diketahui berupaya mengakibatkan jangkitan yang lebih serius terutama dalam kalangan mereka yang tidak divaksinasi atau tidak menerima dos penggalak,” katanya.

Pecahan pemberian vaksin mengikut negeri sehingga 22 Mac 2022. – Sumber Covidnow KKM

BERITA BERKAIT
POPULAR