
Dos penggalak kedua boleh diambil individu yang sihat berusia sekitar 50-60 tahun.
Jumlah harian pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 kepada keseluruhan populasi di Malaysia sekarang ini tidak banyak berubah, sebaliknya tumpuan kini lebih terarah kepada suntikan dos penggalak.
Berdasarkan statistik yang dikongsi Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman sesawang Covidnow yang dikemas kini pagi ini, semalam sahaja seramai 28,185 individu telah menerima dos penggalak, berbanding hanya 288 individu yang lengkap divaksinasi dan 210 lagi menerima dos pertama.
Pada Selasa, seramai 93,365 individu menerima dos penggalak, manakala 1,537 dos kedua dan 955 dos pertama.
Sehingga semalam, seramai 12,022,117 atau 51.4 peratus individu dewasa telah menerima suntikan dos penggalak.
Menurut KKM sehingga semalam lebih 63.6 juta dos vaksin telah diberikan kepada semua individu yang layak sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan 24 Februari tahun lalu.
Daripada jumlah itu, seramai 25,714,107 atau 78.7 peratus individu telah lengkap divaksinasi, manakala 26,070,129 atau 79.8 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Dari segi pecahan PICK Dewasa dan Remaja pula, 22,925,383 atau 97.9 peratus populasi dewasa telah lengkap divaksinasi, manakala 23,202,227 atau 99.1 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Bagi remaja pula, sejak suntikan vaksin dimulakan pada 8 September tahun lalu hingga semalam, seramai 5,656,626 remaja telah menerima vaksin Covid-19 masing-masing.
Daripada jumlah itu, 2,788,724 atau 88.6 peratus telah lengkap divaksinasi, dan 2,867,902 atau 91.1 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Bagi jenama vaksin yang digunakan pula, 58.1 peratus melibatkan Pfizer, diikuti Sinovac (33.1 peratus); AstraZeneca (8.4 peratus); dan Cansino (0.3 peratus).

Pecahan pemberian vaksin mengikut negeri sehingga 1 Februari 2022. – Sumber Covidnow KKM