Lebih 1,000 cuba masuk Kelantan diarah patah balik

Dianggarkan lebih 500 kenderaan yang cuba memasuki Kelantan diarah berpatah balik kerana tidak memiliki surat kebenaran rentas negeri.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, jumlah yang diarah pulang itu hanya dalam tempoh jam 12 tengah malam hingga jam 5 petang dan dikesan di tiga laluan masuk utama ke negeri itu iaitu di Gua Musang, Pasir Puteh dan Jeli.

Beliau berkata, ada juga sesetengah pengguna jalan raya yang hanya membawa surat rentas negeri tanpa pengesahan mana-mana balai polis,yang sengaja dilakukan dengan tujuan ingin mengaburi pihak berkuasa.

Difahamkan, polis Kelantan turut memperketatkan kawalan dan pemantauan menjelang Aidilfitri, termasuk menambah sekatan jalan raya di beberapa lokasi bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP), khususnya menjelang Aidilfitri.

Kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Kelantan dilanjutkan sehingga 17 Mei.

PKP 3.0 juga dilaksanakan seluruh Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, namun media sosial melaporkan kesesakan berlaku di beberapa jalan keluar menuju Pantai Timur sejak beberapa hari lalu.

Mengulas lanjut, Shafien berkata lebih 100 anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengawal tiga lokaliti di Mukim Benut Susu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) membabitkan penduduk seramai 1,800 orang

“PKPD Mukim Bunut Susu melibatkan tiga lokaliti yang agak luas dan memerlukan ramai anggota untuk mengawal. Anggota yang terlibat akan bertugas mengawal pergerakan masyarakat termasuk di lebih 30 laluan kecil atau ‘lorong tikus’.

“Tujuan PKPD ini juga adalah untuk memudahkan petugas kesihatan membuat ujian saringan COVID-19, kalau rakyat beri kerjasama maka kita dapat buat cepat dan terima keputusan, saya harap masyarakat di sini berilah kerjasama untuk memudahkan urusan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR