
Pecahan pemberian vaksin mengikut negeri sehingga 6 Jun 2022. - Sumber Covidnow KKM
Sekurang-kurangnya 48.9 peratus atau 1,733,437 kanak-kanak berusia lima hingga di bawah 12 tahun telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 sejak 3 Februari lalu hingga semalam (6 Jun 2022).
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kemas kini laman sesawang CovidNOW pagi ini memaklumkan keseluruhannya sebanyak 2,935,649 dos vaksin telah diberikan sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) dilancarkan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 33.9 peratus atau 1,202,212 kanak-kanak telah melengkapkan dua dos vaksin Pfizer Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion for Injection.
Bagi remaja berusia 12 hingga di bawah 18 tahun pula, seramai 3,009,343 atau 96.8 peratus daripadanya menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Seramai 2,914,353 atau 93.7 peratus remaja lagi melengkapkan suntikan dos kedua. Bagaimanapun, belum ada remaja yang menerima dos penggalak vaksin Covid-19.
Sementara itu, sejak 24 Februari tahun lalu hingga semalam juga seramai 16,106,736 atau 68.5 peratus individu dewasa berusia 18 tahun dan ke atas telah mengambil suntikan dos penggalak masing-masing.
Sebanyak 98.9 peratus atau 23,258,115 individu dewasa menerima sekurang-kurangnya dos pertama daripada vaksin dua dos atau vaksin dos tunggal, sementara 97.7 peratus atau 22,981,301 individu lagi menerima dos kedua.
Keseluruhannya sebanyak 70,991,146 dos vaksin Covid-19 telah diberikan sejak tahun lalu, dalam usaha kerajaan memberi imunisasi kepada penduduk Malaysia, termasuk warga asing, daripada jangkitan Covid-19.
Untuk rekod, sejak Januari 2020 hingga semalam sebanyak 4,516,319 kes positif Covid-19 dilaporkan di seluruh Malaysia, dengan 4,458,999 pesakit telah sembuh; 21,630 kes masih aktif; dan 35,690 pesakit meninggal dunia.
KKM juga telah menggunakan ubat antiviral Paxlovid, dalam merawat pesakit Covid-19, terutama membabitkan kumpulan pesakit berisiko tinggi yang mengalami gejala ringan dan sederhana, sejak 15 April lalu.