
Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Dakwaan mengatakan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyalahguna dana kerajaan dalam lawatan ke Arab Saudi tidak benar, sebaliknya Liga Dunia Islam (MWL) menaja penuh lawatan Menteri Hal Ehwal Agama tersebut.
Zulkifli menyangkal tohmahan yang dibuat dalam media sosial yang tular berhubung pesawat khas yang dinaiki delegasinya ketika lawatan tersebut.
“Saya menaiki penerbangan SAUDIA Airlines dari Kuala Lumpur ke Riyadh, sama seperti penumpang lain…penerbangan daripada Riyadh ke Madinah seperti dalam video itu diuruskan sepenuhnya oleh MWL,” katanya dipetik Bernama.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata beliau dijemput untuk ke Madinah dengan menaiki pesawat khas sejurus selepas Gabenor Madinah Putera Faisal bin Salman bin Abdulaziz Al Saud mengetahui bahawa beliau seorang Menteri berkelulusan Universiti Islam Madinah.
“Ini berikutan jemputan Diraja oleh Gabenor Madinah, Yang Mulia Putera Faisal bin Salman bin Abdulaziz Al Saud kepada saya untuk bertemu baginda di Madinah,” katanya.
“Baginda amat sukacita apabila mendapat tahu ada seorang Menteri daripada Malaysia, berkelulusan Universiti Islam Madinah, telah datang ke Arab Saudi atas urusan negara. Atas sebab itulah jemputan diraja dizahirkan berserta dengan pesawat berkenaan…begitulah sebagaimana yang saya dimaklumkan,” katanya.
Dalam pada itu Zulkifli berpandangan bahawa tajaan lawatan itu merupakan tanda penghormatan kerajaan Arab Saudi dan pihak MWL kepada kerajaan Malaysia.
MWL yang ditubuhkan pada 1962 merupakan sebuah badan bukan kerajaan Islam yang berpangkalan di Makkah, dibiayai sepenuhnya kerajaan Arab Saudi.
Lawatan yang bermula Jumaat lepas hingga 18 April ini bertujuan memperkukuh kerjasama dalam hal ehwal Islam serta ibadah haji dan umrah sebagaimana yang dimeterai dalam memorandum persefahaman (MoU) hasil kunjungan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mac lepas.