Latih anak simpan, sedekah duit raya

Pemberian duit raya boleh dianggap sedekah, iaitu ibadat yang besar pahalanya dan mampu mengeratkan silaturahim. Selain itu, pemberian duit raya dilihat sebagai amalan yang membuka pintu rezeki.

Bagi ibu bapa, inilah masa terbaik melatih anak dengan amalan kewangan bijaksana. Bak kata pepatah melentur buluh, biarlah dari rebungnya.

Banyak tip boleh diajar kepada anak. Antaranya, sediakan tiga tabung berbeza tujuannya seperti simpan, sedekah dan belanja.

Menurut Pegawai Psikologi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Aida Hashim, sebaik-baiknya ibu bapa latih anak seawal dua tahun untuk menyimpan duit.

“Ibu bapa boleh membelikan  tabung khas dan sama-sama masukkan duit setiap hari dalam tabung itu walaupun hanya syiling 20 sen.

“Kedua, latih anak bahawa nilai duit itu berharga. Kita perlu memberitahu mereka, berbelanja hanya jika perlu. Saya sendiri mula melatih anak seawal tiga tahun,” katanya.

Tambah Aida, dia melatih anak-anak belajar mencari duit sendiri contohnya buat jualan aiskrim Malaysia. Apabila ada sejumlah duit, Aida akan bertanya tentang keperluan untuk mereka guna duit.

Sebagai ibu bapa, Aida menyarankan agar memberitahu anak-anak bahawa duit raya bukalah menjadi keutamaan di Aidilfitri.

Tambahnya, sebagai ibu bapa kita kena terapkan berjalan ke rumah saudara dan rakan-rakan adalah untuk menziarah semasa sambutan hari raya dan bukan untuk kumpul duit raya.

“Setiap kali berkunjung ke rumah keluarga atau rakan-rakan,  saya akan pesan pada anak-anak untuk jaga tingkah laku, jaga adab perbualan, makan dengan sopan dan elak berniat dalam hati untuk dapatkan duit raya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa mengajar anak  jangan meminta duit raya dan buka sampul di depan si pemberi.

“Pesan dengan anak-anak untuk ucap terima kasih dan simpan sampul tu dalam beg. Buka sampul  di rumah sahaja. Sebaiknya hargai pemberian orang tanpa persoalkan jumlahnya. Selain berterima kasih, saya juga ajar anak agar doakan orang yang beri duit raya supaya mereka lebih murah rezeki,” katanya.

Pada pendapat Aida,  budaya beri duit raya budaya yang baik tetapi jika nak mengambil kesempatan menghargai kemuliaan dan keberkatan Ramadan sebaiknya amalkan sedekah dalam bulan Ramadan iaitu sebelum Aidilfitri.

BERITA BERKAIT
POPULAR