
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di dirawat di HKL.
Datuk Seri Najib Tun Razak juga disahkan oleh laporan Utusan Malaysia hari inisedang berada di hospital dan bukan penjara.
Menurut laporan tersebut, bekas Perdana Menteri (PM) bergelar banduan itu dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dikatakan sekali lagi mengalami masalah ulser dalam perut yang dihidapinya.
Memetik laporan sumber, Utusan mendedahkan rawatan yang diberikan kepada Najib adalah mengikut saranan pegawai perubatan kepada pegawai penyelia bagi untuk pemantauan lanjut oleh pakar.
“Walaupun beliau (Najib) ditahan di hospital, dia masih berada di bawah kawalan pihak penjara.
“Selaras dengan Seksyen 37 Akta Penjara, Jabatan Penjara bertanggungjawab memastikan tahap kesihatan seseorang banduan sentiasa dipantau dan dijaga termasuk penyediaan kemudahan rawatan dan ubat-ubatan sebagaimana yang disyorkan oleh pegawai perubatan kerajaan,” kata sumber itu.
Dalam pada itu, ditanya sehingga bila Najib ditahan di wad, sumber itu berkata, ia bergantung kepada syor yang dibuat oleh pegawai perubatan.
Pada September lalu, anak Najib iaitu Nooryana Najwa menerusi hantaran InstaStory memaklumkan bapanya menerima rawatan di HKL selepas mengalami sakit perut.
Menerusi hantaran itu, Nooryana Najwa memberitahu bapanya itu sememangnya sering mengalami masalah perut yang berulang.
Pada 19 September lalu, Jabatan Penjara Malaysia mengesahkan pihak HKL telah merujuk Najib mendapatkan rawatan dan pemantauan lanjutan di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC).
Dalam masa sama, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan supaya Najib dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan setelah dimaklumkan keadaan kesihatan beliau yang tidak memuaskan.
Najib, 69, memulakan hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang dan denda RM210 juta bermula 23 Ogos lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan ke atasnya dalam kes SRC International.