Laporan situasi Covid-19 negara dibentang kepada MPN: Muhyiddin

July 16, 2022 · Isu semasa

Laporan terkini situasi Covid-19 negara akan dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) kepada Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dijadualkan bersidang pada 26 Julai ini, selain laporan berhubung pengurusan ekonomi negara.

Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata walaupun kes Covid-19 dalam negara menunjukkan peningkatan ketara sejak kebelakangan ini, beliau yakin keadaan adalah terkawal.

“…logistik seperti katil hospital, keupayaan menguruskan (kes) setakat ini tidak menjadi masalah, tempoh dua tahun telah memberikan cukup banyak pengalaman menguruskan Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Blood Donation Drive 2022 anjuran Tan Sri Muhyiddin Charity Golf Foundation (TSMCGF) di Mid Valley Mega Mall di sini hari ini.

“Covid-Covid lah… tapi orang hendak hidup, hendak cari makan, ada pekerjaan, nak hidupkan semula industri dan kegiatan ekonomi, supaya ekonomi negara tidak terus terjejas teruk sebagaimana berlaku masa lepas,” tambahnya menurut laporan Bernama.

Katanya Pelan Pemulihan Negara 2.0 yang sedang disiapkan MPN akan mengambil kira langkah-langkah holistik yang wajar diambil berkaitan ekonomi memandangkan rakyat ketika ini terbeban dengan masalah inflasi, kenaikan harga barang dan bermacam isu lain.

Mengenai kempen derma darah hari ini Muhyiddin berkata ia merupakan acara tahunan TSMCGF yang masuk tahun kesembilan, dan penganjuran kali ini disasar mengumpulkan lebih 600 pek darah.

Kempen derma darah yang berlangsung hari ini dan esok di pusat membeli-belah Mid Valley Mega Mall itu adalah program kolaborasi TSMCGF dengan Pusat Darah Negara and IGB Real Estate Investment Trust.

Sementara itu, Muhyiddin ketika melawat Pelabuhan Klang, semalam berkata pandemik Covid-19 telah menjejaskan operasi pelabuhan di seluruh dunia sehingga menyebabkan kebanyakan pelabuhan tidak dapat beroperasi.

“Alhamdullilah, melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang menjadi panduan bagi pembukaan sektor ekonomi dan sosial secara selamat dan teratur, pelabuhan negara masih dapat beroperasi dengan gangguan yang minimum.

“Malahan, lebih 10,000 pekerja di Pelabuhan Klang telah berjaya divaksinasi dengan dalam tempoh seminggu melalui Program Imunisasi Industri Covid-19 Awam Swasta (PIKAS) yang diselenggarakan bersama oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya.

Menurutnya walaupun terdapat trend peningkatan pengendalian kontena di pelabuhan Malaysia, sektor ini masih terdedah kepada kesan pandemik Covid-19 dan ketidakstabilan geopolitik antarabangsa.

“Terdapat penyusutan pada bulan Mac 2022 bagi pengendalian kontena (11.9%) dan jumlah kargo (8.7%) berbanding bulan Mac 2021 di pelabuhan-pelabuhan utama negara.

“Antara isu yang dihadapi oleh pengendali pelabuhan adalah konflik Rusia-Ukraine dan penutupan sektor ekonomi negara China yang telah menjejaskan bekalan rantaian global serta keperluan menambah baik infrastruktur di pekarangan kawasan pelabuhan.

“Dengan kapasiti pelabuhan yang semakin meningkat, jaringan infrastruktur di sekitar kawasan pelabuhan perlu dipertingkatkan bagi memastikan kelancaran proses logistik,” katanya.

Menurutnya, dengan input yang diberi serta yang diperoleh daripada lawatan ini, mesyuarat MPN akan membincangkan serta mengemukakan syor penambahbaikan kepada Kerajaan.

Pemulihan sektor ini katanya perlu diberi perhatian serius memandangkan 90 peratus kargo Malaysia dikendalikan melalui sektor perkapalan.

“Sektor ini perlu diperkukuh bukan sahaja untuk memastikan kedudukan Malaysia kekal berdaya saing di peringkat perdagangan antarabangsa, tetapi juga kerana sektor logistik ini mempunyai peluang untuk berkembang maju dan memberi manfaat besar kepada ekonomi negara termasuk dari segi menyediakan peluang pekerjaan.

“Dengan langkah-langkah strategik dan kerjasama padu antara Kerajaan dan pihak swasta, saya optimis bahawa sektor ini bukan sahaja akan terus pulih, tetapi akan berkembang pesat dan mengatasi pencapaian prapandemik dengan cemerlang, insya-Allah,” katanya.

Berita berkaitan
Kes baharu Covid-19 sebanyak 3,927 dengan enam kematian baharu
August 6, 2022· Isu semasa
Dua peguam Zahid dijangkiti Covid-19, bicara kes rasuah YAB ditangguh
August 5, 2022· Isu semasa
Kadar pengangguran masih tinggi walaupun turun pada 2022
August 3, 2022· Isu semasa
Influenza menyerang!
August 2, 2022· Isu semasa
Popular
Bersatu gesa kerajaan tubuh RCI siasat skandal kapal tak siap
August 8, 2022
Rafizi dakwa ada surat bocor kaitkan Najib berhubung kontrak LCS
August 8, 2022
Pengerusi PAC bidas Najib tak semak fakta pertikai laporan kapal tak siap
August 8, 2022
Pengarah urusan syarikat tipu pakeh umrah dipenjara 10 tahun
August 9, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Kes baharu semalam kekal bawah 3,000, enam kematian dicatat
7 minit lalu · Isu semasa
Pengarah urusan syarikat tipu pakeh umrah dipenjara 10 tahun
9 jam lalu · Isu semasa
Subsidi bersasar dilaksana apabila keadaan ekonomi mengizinkan: Zafrul
9 jam lalu · Isu semasa
Polis tahan Lelaki letak vape dalam mulut bayi
9 jam lalu · Isu semasa
PDRM umum pertukaran 20 pegawai kanan
9 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[FOTO] Dragon Muay Thai gegar Bukit Bintang
23 jam lalu
[VIDEO] Jentera UMNO diarah mantap persiapan hadapi PRU-15
August 5, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok