
Bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak yang menjalani hukuman 12 tahun penjara di Kajang kini ditempatkan di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) untuk rawatan dan pemantauan lanjutan.
Kementerian Kesihatan (KKM) terikat dengan tata etika kerahsiaan pesakit di bawah Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).
Kenyataan Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah itu hadir selepas disahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bergelar banduan kini ditempatkan di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) ketika ini dan bukannya sedang berada di Penjara Kajang dimana didakwa menerima akses kepada dunia luar.
“Sebarang maklumat terperinci mengenai kesihatan seseorang pesakit hanya boleh dikemukakan kepada mahkamah (sekiranya diarahkan mahkamah),” katanya dalam hantaran di Facebook.
Noor Hisham juga memaklumkan rawatan dan pemantauan terhadap Najib sudah selesai dan laporan perubatan akan dikemukakan kepada mahkamah sekiranya perlu.
Jabatan Penjara semalam memaklumkan Najib dihantar ke HRC untuk rawatan dan pemantauan lanjut sejak Isnin lalu berdasarkan rujukan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Jelasnya, Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara sebaik saja pihak pakar perubatan HRC atau HKL memberikan pelepasan perubatan ke atas beliau.
Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli membangkitkan kemusykilan berkait lokasi Najib ketika ini yang didakwanya seakan mendapat akses ke dunia luar.
Sejak beberapa hari lalu tular dakwaan layanan istimewa diberikan terhadap Najib – yang dirujuk dengan nama kod merpati – di media sosial.
Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya berkait kes dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.