Laporan diberi kepada MPN bagi bantu PM ke arah pemulihan pasca Covid-19: Zafrul

Langkah laporan diberikan kepada Majis Pemulihan Negara (MPN) bertujuan membantu Perdana Menteri dalam usaha pemulihan negara pasca Covid-19, kata Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Menteri Kewangan itu menjelaskan laporan yang diberikan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah atas kapasitinya sebagai Pengerusi MPN dan menegaskan fakta-fakta ekonomi dalam laporan tersebut sudah berulang kali disebut kepada Kabinet dan orang awam.

Menurut Tengku Zafrul, ia adalah sebuah laporan yang diberikan kepada sekretariat MPN, seperti mana laporan-laporan lain yang diberikan rakan-rakan kabinet tidak kira daripada mana-mana parti.

“Sebagai pengerusi MPN, beliau memerlukan laporan-laporan tersebut untuk mengambil keputusan yang tepat dalam membantu perdana menteri membawa Malaysia ke arah pemulihan pasca-Covid-19.

“Malahan, fakta-fakta ekonomi yang ada di dalam laporan tersebut merupakan fakta yang telah saya sebut berulang kali kepada kabinet dan sesiapa sahaja orang awam.

“Saya tidak pernah sorok, baik melalui kenyataan media, ulasan saya dalam forum-forum, jawapan-jawapan parlimen dan laporan-laporan agensi seperti Bank Negara, Jabatan Statistik dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Keadaan ekonomi ketika ini diketahui umum sememangnya agak perlahan, khususnya selepas wabak Covid-19 melanda negara, kata Tengku Zafrul lagi.

Namun jelasnya, fokus utama kerajaan sekarang adalah untuk memacu pemulihan negara agar rakyat dapat kembali hidup dengan selesa.

“Menjana pekerjaan, membawa pelaburan, membantu perniagaan adalah antara banyak strategi yang telah kita rancang untuk memacu pemulihan ini melalui dua tunggak utama: JaminKerja dan SemarakNiaga dalam Bajet 2022.

“Saya berharap kita dapat terus memberi keutamaan yang paling penting kepada pemulihan ekonomi untuk rakyat. Kita berada di atas landasan yang betul di mana aktiviti ekonomi, baik dari perspektif makro, perniagaaan atau individu sedang beransur pulih dengan pantas berdasarkan indikator-indikator seperti pasaran kerja dan sebagainya.

“Saya yakin kita dapat pulih mengikut perancangan dan menjana ekonomi sekali gus terus membawa keyakinan kepada pelabur untuk terus datang ke Malaysia,” katanya lagi.

Terdahulu, Pemuda UMNO Parit Sulong bertindak membuat laporan polis menggesa Muhyiddin disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi selepas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berjanji untuk mendedahkan butiran laporan yang diterimanya daripada Tengku Zafrul.

BERITA BERKAIT
POPULAR