Lapan kematian BID semalam

Dua belas lagi kematian akibat komplikasi Covid-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam semalam (Ahad, 17 April 2022), menurut data Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Jumlah itu termasuk lapan individu yang dijangkiti Covid-19 dan meninggal dunia di luar fasiliti kesihatan sebelum mayat dibawa ke hospital untuk bedah siasat atau kes ’brought in death’ (BID).

Bagaimanapun, tiada maklumat diberikan sama ada lapan kes BID itu turut membabitkan dalam kalangan 101,294 pesakit yang menjalani kuarantin di rumah akibat jangkitan Covid-19 tahap rendah.

Angka yang dicatatkan semalam menjadikan kumulatif kematian sejak awal Mac 2020 berjumlah 35,421 kes, termasuk 7,492 kes BID.

Data laman sesawang CovidNOW menunjukkan Kedah mencatat empat kematian semalam, di mana semuanya adalah kes BID, menjadikan kumulatif meningkat kepada 2,609 kes, termasuk 463 kes BID.

Sehingga semalam Kedah mencatat kumulatif positif sebanyak 297,280, dengan 292,829 pesakit telah sembuh, dan 1,842 kes masih aktif, termasuk 1,700 pesakit yang menjalani kuarantin di rumah.

Selain itu, hanya 16 pesakit kini ditempatkan di PKRC; 119 dimasukkan ke hospital; dan tujuh pesakit dirawat di unit rawatan rapi, dengan empat daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bagi negeri lain, Pulau Pinang mencatat tiga kematian, diikuti Sarawak (dua), dan masing-masing satu di Melaka, Perak, serta Selangor.

Tiada kes kematian dilaporkan di Johor, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Sabah, Terengganu, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, semalam.

Berikut adalah pecahan kes kematian mengikut kumpulan umur bagi tempoh seminggu lalu:

  • 80 tahun dan ke atas – 48 kes;
  • 70-79 tahun – 35 kes;
  • 60-69 tahun – 29 kes;
  • 50-59 tahun – 13 kes;
  • 40-49 tahun – 9 kes
  • 18-29 tahun – 4 kes;
  • 30-39 tahun – 3 kes;
  • 12-17 tahun – 1 kes;
  • 5-11 tahun – 1 kes; dan
  • 0-4 tahun – 1 kes.

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 17 April 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR