Seramai lapan pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam (Isnin, 9 Januari 2023), jumlah tertinggi dalam tempoh 23 hari sejak kali terakhir juga merekodkan lapan kematian pada 16 Disember lalu.
Daripada jumlah kematian itu satu kes melibatkan pesakit ‘brought in death’ (BID) atau meninggal dunia di luar fasiliti kesihatan, menurut data Kementerian Kesihatan (KKM) yang dikemas kini tengah malam tadi.
Tiga daripada kes kematian itu direkodkan di Selangor, masing-masing dua di Kuala Lumpur, termasuk kes BID, serta Pulau Pinang, manakala satu kes dicatat di Perak.
Jumlah itu menjadikan kumulatif kematian sejak 17 Mac 2020 bertambah menjadi 36,883 mangsa, termasuk 7,858 kes BID.
Sementara itu, jangkitan baharu yang direkodkan semalam pula turun kepada 383 kes, berbanding 405 yang dicatat pada Ahad.
Daripada jumlah jangkitan baharu semalam, 257 kes melibatkan individu yang telah menerima suntikan vaksin dos penggalak, diikuti 79 (individu yang lengkap divaksinasi); dua kes (individu belum lengkap divaksinasi); dan 45 kes (individu tidak divaksinasi).
Jangkitan semalam, turut melibatkan 28 kanak-kanak, turun berbanding 29 yang dicatatkan pada Ahad.
Jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif positif sejak 25 Januari 2020 sebanyak 5,030,696 dengan 4,982,399 pesakit telah sembuh, termasuk 355 yang pulih semalam.
KKM juga memaklumkan sehingga semalam 11,414 kes masih aktif, naik sedikit berbanding 11,394 yang dilaporkan pada Ahad, manakala 10,779 pesakit masih menjalani kuarantin di rumah (10,763 pada Ahad). Tiada pesakit yang ditempatkan di PKRC.
Menurut KKM, jumlah pesakit yang menerima rawatan di hospital pula meningkat kepada 607 kes, berbanding 599 yang dicatat pada Ahad.
Seramai 28 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi, turun berbanding 32 yang dicatat pada Ahad, dengan 11 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan (12 pada Ahad).
Berikut adalah pecahan kes baharu semalam mengikut negeri dan wilayah, serta kumulatif kes positif:
- Selangor – 149 (1,546,374);
- Kuala Lumpur – 42 (466,983);
- Sabah – 8 (406,670);
- Johor – 16 (397,951);
- Sarawak – 25 (323,928);
- Kedah – 25 (318,302);
- Pulau Pinang – 16 (307,178);
- Kelantan – 8 (259,944);
- Perak – 19 (238,678);
- Negeri Sembilan – 24 (230,716);
- Pahang – 10 (182,502);
- Melaka – 24 (144,512);
- Terengganu – 4 (132,812);
- Putrajaya – 11 (32,249);
- Labuan – 1 (22,927); dan
- Perlis – 1 (18,974).