
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Lanjutan kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ‘memalukan’ bagi segelintir pemimpin akar umbi Pakatan Harapan (PH) terutama mereka yang lantang mendesaknya meletak jawatan sebelum ini.
Pemimpin bahagian yang enggan dinamakan menyifatkan lanjutan kontrak itu bertentangan pembaharuan dijanjikan PH.
“Sebelum kami mengambil alih kerajaan, kami habis-habisan mahu memastikan Azam meletak jawatan. Jadi lanjutan kontrak ini amat mengecewakan.
“Terasa seolah-olah apa yang kami perjuangkan dan bantah di jalanan seperti tidak bererti. Kami juga agak malu kerana menggalakkan pembaharuan tetapi pemimpin gabungan kami (merujuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) memutuskan untuk mengekalkan Azam,” kata pemimpin DAP Selangor itu, lapor FMT.
Sementara seorang lagi pemimpin akar umbi di Johor pula mengimbau ucapan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli ketika berkempen pada PRU-15 lalu yang berdegar-degar mahu ‘mengejar’ Azam sekiranya PH berkuasa.
“Janji seperti itu antara sebab rakyat undi kami. Saya tidak lihat orang ramai dapat mempercayai kami pada masa depan,” katanya.
Katanya lagi, kegagalan PH memenuhi pembaharuan dijanjikan menunjukkan gabungan itu tiada beza dengan lawannya.
Sebelum ini Anwar mempertahankan keputusannya melanjutkan kontrak Azam setahun lagi susulan berpuas hati dengan prestasinya dan sikapnya yang menjalankan tugas serta siasatan tanpa mengira puak atau parti.
Media melaporkan pelantikan semula Azam mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkuat kuasa 12 Mei lalu.
Azam menjawat sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mei 2020 lalu bagi menggantikan Latheefa Koya yang mengambil keputusan memendekkan kontrak perkhidmatannya.
Semasa menjadi pembangkang, PH lantang membidas Azam dan juga mengadakan perhimpunan jalanan bersejarah yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Tangkap Azam Baki pada 22 Januari tahun lalu susulan kontroversi pemilikan saham Azam.
PH juga menuntut Azam ditangkap dengan serta-merta oleh agensi penguat kuasa, proses undang-undang ke atas beliau bermula dengan segera dan SPRM dirombak serta diletakkan di bawah Parlimen.
Malah Rafizi semasa ceramah kempen politik juga berjanji untuk mencari Azam selepas PRU-15 untuk mendakwanya, bagaimanapun sebaliknya yang berlaku apabila kontraknya pula disambung semula.