Lantikan Ismail Sabri akan turunkan suhu politik, fokus Covid-19

Suhu politik negara akan dapat diredakan susulan pengumuman pelantikan Datuk Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan Putrajaya dapat menumpukan semula fokus ke arah menangani penularan Covid-19 dengan lebih mantap.

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata suhu politik yang semakin tegang susulan tindakan segelintir pihak yang masih bermain politik untuk kepentingan peribadi sememangnya menganggu fokus kerajaan yang sedang bertungkus-lumus membantu rakyat yang terjejas.

“Semoga pelantikan ini akan memantapkan pentadbiran negara di samping meredakan suhu politik yang semakin tidak tenteram kebelakangan ini. UMNO perlu meredakan ketidaktentuan itu selepas jawatan nombor dua dimilikinya.

“Rakyat tidak mahu pertarungan politik menyebabkan negara dan kerajaan tidak stabil. Ketidakstabilan politik hanya akan menyukarkan kehidupan rakyat yang sudah sedia tenat, terutama rakyat yang terjejas akibat PKP yang tidak berkesudahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, semua pemimpin politik perlu bersatu bagi memulihkan negara dan menyokong usaha yang sedang direncana Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berhenti daripada bertindak luar kawalan hanya kerana tamakkan kuasa.

“Bersatulah demi rakyat dan negara. Berikan kerjasama dan sokongan kepada Tan Sri Haji Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia agar segala urusan dapat disepakati dan lancar.

“Rakyat memerhatikan sikap dan tingkah laku pemimpin politik dengan teliti,” ujar lagi.

Spekulasi diluar mengatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijangka membuat keputusan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO malam ini untuk membawa parti bertindak keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Terdahulu kenyataan pejabat Perdana Menteri memaklumkan, Ismail Sabri dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri manakala Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula dilantik menjadi Menteri Kanan Luar Negeri dan mengetuai Kluster Keselamatan.

Kenyataan dibuat Muhyiddin itu berkuat kuasa serta-merta.

BERITA BERKAIT
POPULAR