Lans Koperal antara lima tak mengaku salah miliki air ketum

Lima termasuk seorang anggota polis wanita berpangkat Lans Koperal didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki 2.5 liter air daun ketum, Khamis lepas.

Tertuduh, Raja Rozalia Fadila Raja Mamat, 30; Wan Muhammad Alif Wan Yusoff, 20; Muhammad Faries Aizat Ruslan, 23; Anis Najiehah Muhammad Anggelan, 27; dan Bidah Napi, 30; bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Mohd Izdham Che Ani.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, kesemua tertuduh didakwa memiliki cecair racun myntragynine (ketum) masing-masing sebanyak 1.5 liter dan 1.0 liter dan kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Pasir Puteh-Kubang Kerian, di sini pada 3.25 pagi, 7 April lepas, lapor Bernama.

Pertuduhan ke atas kesemua tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 (Pindaan 2003) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 30(5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nursyafiqah Mohamad manakala kesemua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Nor Nadhirah Ismail.

Terdahulu, Nursyafiqah menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 setiap seorang bagi kedua-dua pertuduhan manakala Intan Nor Nadhirah memohon supaya jaminan minimum diberikan kepada kesemua tertuduh.

Majistret Mohd Izdham kemudian membenarkan kesemua tertuduh masing-masing diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan seorang anggota polis wanita bersama empat individu lain ditahan pasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu bersama penguat kuasa dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) pada 3.25 pagi susulan penemuan sejumlah mercun dan bunga api bernilai RM5,000 serta air ketum di rumah terbabit.

BERITA BERKAIT
POPULAR