Langkawi destinasi pelancongan pertama akan dibuka kepada umum

Pulau Langkawi akan menjadi destinasi pelancongan pertama dibuka kepada umum, namun pembukaannya memerlukan strategi baharu sesuai cabaran semasa pandemik Covid-19.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata pulau peranginan itu menjadi pilihan pertama sektor pelancongan kerana lokasinya yang tertumpu dan tertutup, seterusnya mudah dikawal.

Selain itu, beliau berkata, Langkawi yang juga permata Kedah mempunyai 119,000 penduduk dan disasar mencapai imuniti kelompok esok.

“Syarikat penerbangan antarabangsa juga pergi ke Langkawi. Jadi, ia fokus dan juga ‘concentrated area’ untuk sektor pelancongan bagi mereka yang sudah melengkapkan vaksinasi masing-masing,” katanya selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia oleh barisan menteri dan timbalan menteri di Istana Negara, hari ini.

Ahli Parlimen Batang Sadong itu berkata, pada awalnya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan 1 September ini untuk sektor pelancongan di Langkawi dibuka kepada orang ramai, namun ditunda atas faktor peningkatan kes Covid-19.

“Penduduk Langkawi sudah mencapai imuniti kelompok, jadi mereka sudah bersedia, cuma mereka sekarang ini minta tangguh dulu kerana kes Covid-19 mendadak naik,” katanya.

Sementara itu, Nancy berkata, isu pelancongan perlu ditangani segera dan memerlukan strategi baharu sesuai cabaran semasa.

“Kita tetapkan kriteria utama untuk pergi melancong adalah vaksinasi. Insya-Allah mudah-mudahan pelancong akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) baharu pelancongan.

“Jadi, sama-sama kita lihat bagaimana sektor pelancongan, seni dan budaya ini dapat membantu meningkatkan sosioekonomi rakyat,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR