Langkah pemulihan ekonomi kerajaan mula menampakkan hasil, kata Mustapa

Lebih banyak sektor dibenarkan menyambung operasi bagi merancakkan semula ekonomi negara.

Langkah-langkah pemulihan ekonomi yang diambil oleh kerajaan mula menampakkan hasil dan permintaan luar negara juga semakin mengukuh, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa menyifatkan program pemulihan yang diperkenalkan kerajaan dengan pelbagai bentuk inisiatif berjaya memberikan impak yang positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Beberapa petunjuk ekonomi utama mencatat pencapaian yang lebih kukuh seperti Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) negara melonjak 9.3 peratus pada Mac 2021, pertumbuhan yang paling tinggi sejak Julai 2013. Pencapaian ini dipacu oleh indeks pembuatan dan elektrik, masing-masing meningkat sebanyak 12.7 peratus dan 10.3 peratus.

“Selain itu, nilai jualan sektor pembuatan meningkat sebanyak 15.3 peratus pada Mac 2021, iaitu tertinggi dalam 44 bulan, disokong oleh jualan produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain, produk elektrik dan elektronik serta produk makanan, minuman dan tembakau,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara pakej rangsangan dan inisiatif yang diperkenalkan, antaranya PRIHATIN, PRIHATIN PKS Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin, Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan Belanjawan 2021.

Mustapa berkata setelah mencatat penguncupan bagi lima bulan berturut-turut sejak Oktober 2020, nilai jualan perdagangan borong dan runcit mencatat pertumbuhan sebanyak 9.3 peratus pada Mac 2021.

“Nilai jualan kenderaan bermotor melonjak 40.7 peratus dan perdagangan runcit meningkat 10.5 peratus. Ini antaranya disokong oleh pengeluaran i-Sinar, i-lestari dan peningkatan harga komoditi yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan bolehguna rakyat,” katanya lagi.

Beliau berkata selain itu eksport melonjak 31.0 peratus kepada RM104.9 bilion pada Mac 2021.

“Ini adalah pertumbuhan tertinggi dalam tempoh 44 bulan. Import pula meningkat 19.2 peratus kepada RM80.8 bilion.

“Lebihan dagangan mencatat RM24.2 bilion atau 96.1 peratus lebih tinggi berbanding Mac 2020. Ini adalah lebihan dagangan bagi bulan ke-11 berturut-turut sejak Mei 2020,” katanya.

Menurutnya Indeks Pengurus Pembelian (PMI), iaitu petunjuk keadaan sektor pembuatan meningkat kepada 53.9 pada April 2021, iaitu peningkatan yang paling tinggi sejak Julai 2012.

“Ini menunjukkan pencapaian sektor pembuatan yang kukuh. Bagaimanapun, Indeks perkhidmatan yang mewakili pencapaian sektor perkhidmatan secara keseluruhan, menguncup sebanyak 3.6 peratus pada suku tahun pertama 2021.

“Namun, pencapaian ini adalah lebih baik berbanding dengan penguncupan 7.1 peratus yang dicatatkan pada suku tahun keempat 2020,” katanya.

Mustapa berkata pencapaian ekonomi yang terkini memberangsangkan dan menunjukkan usaha yang telah diambil kerajaan untuk memulihkan ekonomi mulai berhasil.

“Kerajaan yakin sasaran pertumbuhan ekonomi di antara 6 peratus dan 7.5 peratus pada tahun ini akan dicapai walaupun terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan di beberapa daerah baru-baru ini bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya.

POPULAR