Langkah awal mengurus kewangan

Pengurusan kewangan yang baik adalah tanggungjawab yang harus dimiliki oleh seseorang untuk mengelak kesukaran dan cabaran besar yang dihadapi dalam kehidupan.

Ini terutama semasa kejadian luar jangkaan seperti pandemik baru-baru ini, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam Laporan Tahunan 2020, bank pusat itu berkata pengurusan kewangan boleh menjadikan kehidupan seseorang bertambah baik dengan mempunyai lebih banyak kebebasan dan ketenangan fikiran.

“Persediaan untuk menghadapi perubahan keadaan kehidupan adalah penting. Seperti yang dialami semasa pandemik baru-baru ini, cabaran yang tidak dijangka boleh mengubah kehidupan kita melalui pelbagai keadaan yang tidak diduga,” katanya.

BNM berkata, pengguna perlu mengetahui langkah yang boleh diambil apabila menghadapi keadaan cabaran yang tidak dijangka.

Katanya, pengguna yang menghadapi kesukaran untuk membayar balik hutang perlu mendapatkan bantuan awal dan membincangkan situasi mereka dengan institusi kewangan masing-masing.

Sementara itu, Profesor Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Datuk Dr Shazali Abu Mansor, berkata sebahagian besar rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk menghadapi situasi kecemasan, termasuk ketika pandemik Covid-19 melanda, sekali gus menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada bantuan dan subsidi kerajaan.

“Budaya menabung dalam kalangan rakyat kita masih rendah sebab sebahagian mereka seperti penjawat awam menganggap sudah ada pencen. Bagi pekerja swasta, mereka beranggapan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sudah cukup untuk menyara masa tuanya.

“Jadi, stigma ini secara langsung mendorong rakyat untuk tidak menjadikan budaya menabung sebagai perkara penting terutama persediaan apabila berlaku situasi luar jangka, termasuk pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia juga lebih berminat untuk meminjam dengan bank atau agensi pemberi dana bagi mendapatkan wang lebih cepat berbanding mengumpul atau menyimpannya sejak pada usia kecil.

“Apabila berlaku situasi kecemasan seperti sekarang, rakyat akan mengharapkan kepada bantuan dan subsidi kerajaan kerana simpanan yang mereka ada mungkin hanya mampu bertahan untuk tempoh singkat. Hanya beberapa minggu atau bulan saja.

“Mahu dikatakan boros pun boleh juga. Ada perbelanjaan yang boleh dikurangkan atau tidak perlu seperti membeli kereta dan telefon bimbit baharu. Tetapi ada menganggap ia satu keperluan,” katanya.

Beliau berkata, penting untuk rakyat terus dididik dengan budaya menabung, bukan saja ketika sudah mencapai usia dewasa, sebaiknya ia dimulakan sejak kecil lagi.

“Institusi keluarga menjadi pemula yang penting untuk menggalakkan anak menabung ketika kecil. Mengenai budaya cermat dan tidak berbelanja secara boros,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR