Langgar SOP senyap-senyap, angka naik senyap-senyap: Doktor pakar

Jangan percaya dengan pelbagai dakwaan bahawa vaksin Covid-19 bahaya dan tidak halal.

“Kalau anda selebriti atau pemimpin, tunjuklah contoh yang baik dengan mematuhi SOP (prosedur operasi standard) kerana impaknya besar untuk menyatukan rakyat ikut SOP.”

Demikian kata Pakar Perunding Perubatan Kecemasan & Trauma Hospital Kuala Lumpur, Dr Alzamani Mohammad Idrose.

Bagaimanapun, katanya sekiranya selebriti dan pemimpin tidak boleh diharap untuk berperanan seperti yang diimpikan, janganlah pula orang ramai mengikut mereka kerana yang akan menanggung akibatnya adalah diri dan keluarga sendiri.

“Anda boleh bercekak pinggang berkata, “Bukalah katil lebih. Tambah jer lah katil ICU !”. Malangnya katil ICU bukan katil yang dibeli di kedai perabot.

“Ada staf ramai, peralatan jutaan ringgit, kemahiran mengendaikan pesakit dan banyak aspek lain yang sukar,” katanya kecewa susulan ramai yang menyalahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), termasuk menuduh KKM menipu data kes Covid-19 di negara ini.

Membidas tuduhan-tuduhan itu, Dr Alzamani berkata jika katil hospital ditambah sebanyak mana pun, tetapi sekiranya orang ramai tidak mematuhi SOP, usaha memerangi wabak Covid-19 tidak akan berjaya.

“Semuanya hanya akan berhenti apabila anda melihat diri sendiri, berhenti menyalahkan orang tetapi menyalahkan diri sendiri,” katanya.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan pelbagai dakyah berkaitan vaksin Covid-19, sebaliknya menyahut seruan menyertai program imunisasi yang sedang dijalankan.

Beliau berkata, ramai yang menipu diri sendiri dengan melanggar SOP terutama ketika makan, berziarah dan beraya senyap-senyap, merentas sempadan di jalan tikus, selain makan bersama rakan sekerja di asrama atau pejabat tanpa penjarakan fizikal.

Tetapi, katanya perbuatan itu akan terdedah juga akhirnya apabila mereka yang melanggar SOP itu dijangkiti Covid-19 dan dimasukkan ke hospital.

“Kami tahu semua rahsia yang anda simpan kerana terbongkar di hospital – ziarah senyap-senyap, makan dekat-dekat, berhimpun senyap-senyap, berjemaah rapat-rapat secara senyap-senyap.

“Yang senyap-senyap inilah menyebabkan angka senyap-senyap naik. Sebaliknya, yang dalam senyap mematuhi SOP dengan sempurna adalah wira sebenar yang tak didendang.

“Anda sendiri sahaja yang tahu dalam kumpulan mana anda tergolong. Kita perlu berubah 180 darjah untuk memenangi perang ini,” katanya.

POPULAR