Langgar SOP dan dikompaun, tak perlu Hisham letak jawatan: PM

Walaupun sudah dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan dikompaun semalam, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan tidak perlu sehingga Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein meletak jawatannya.

Perdana Menteri berkata kesalahan yang dilakukan Hishammuddin itu bukan satu jenayah kerana hanya dikompaun dan sekiranya semua meletak jawatan dibimbangi tiada orang yang bekerja selepas ini.

“Langgar SOP bukan jenayah, tiada (jenayah) apa yang dilakukan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dah keluarkan kompaun.

“Jadi, kalau siapa kena kompaun letak jawatan saya ingat tiada siapa boleh bekerja lepas ini.

“Semua letak jawatan,” katanya dipetik laporan media semasa bertemu wartawan di Universiti Management & Science (MSU), Shah Alam, hari ini.

Jelasnya lagi, tindakan sudah diambil terhadap Hishammuddin dan menegaskan kerajaan tidak membeza-bezakan antara individu yang melakukan kesalahan.

“Jadi, semua kena letak jawatan. Jadi tak bolehlah, yang penting adalah tindakan diambil.

“Maknanya kerajaan tidak membeza-bezakan antara individu yang melakukan kesalahan, dia boleh jadi menteri, timbalan menteri, dia boleh jadi ketua jabatan dan dia boleh jadi sesiapa saja, tidak ada konsep orang kayangan tak kena kompaun, orang bawah saja yang kena kompaun.

“Siapa saja yang melakukan kesalahan dan melanggar SOP akan dikenakan kompaun, termasuk menteri pertahanan dan lain-lain,tidak kira siapa,” tegasnya lagi.

Semalam, tular menunjukkan pemimpin meredah kerumunan hadirin pada majlis pelancaran briged MIC Johor di Kota Iskandar, Johor.

Antara pemimpin yang dilaporkan hadir pada majlis itu selain Hishammuddin, penyandang jawatan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad dan Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran.

Susulan video yang tular itu semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengarahkan kementeriannya mengeluarkan kompaun terhadap rakan kabinetnya Hishammuddin dan beberapa pemimpin tertinggi kerajaan kerana didakwa melanggar SOP Covid-19.

Hishammuddin kemudiannya berkata dia hanya tetamu pada majlis itu, tetapi bersetuju bahawa tidak ada alasan untuk melakukan kesalahan dan akan menerima tindakan itu.

Bulan lalu, KKM turut mengenakan denda kepada penganjur majlis kerajaan yang dihadiri Ismail Sabri selepas mereka gagal memastikan pematuhan SOP.

BERITA BERKAIT
POPULAR