Langgar SOP Covid-19, tiada siapa yang kebal: PM

Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak melanggar ketetapan prosedur operasi standard (SOP) tanpa mengira darjat atau kabel politik, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu berkaitan SOP Covid-19, malah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), sudah jelas menunjukkan perkara yang menyalahi ketetapan kerajaan dan hukuman yang boleh dikenakan.

“Undang-undang yang ada di negara kita, mana-mana undang-undang sekalipun, ia meliputi semua pihak, semua individu, tidak ada sesiapa pun yang terlindung daripada undang-undang.

“Tidak ada sesiapa yang kebal dari segi undang-undang, Akta 342 jelas dari segi hukuman dan kesalahan. Walaupun kita sekarang di Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), SOP yang jelas sudah diumumkan oleh kerajaan.

“Jadi sesiapa sahaja, pari mana sekalipun tidak terlindung atau kebal daripada undang-undang. Jika mereka melakukan kesalahan, tindakan pasti diambil.

“Kita tidak ada kompromi, tidak ada istilah orang biasa dan orang kayangan. Undang-undang sama sahaja. Jadi, saya harap semua rakyat patuh kepada SOP,” katanya lapor Bernama.

Ismail Sabri terdahulu melancarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) serta Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Ismail Sabri menjawab pertanyaan media mengenai dua parti politik yang dikompaun RM10,000 kerana melanggar SOP Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Kompaun dikeluarkan kepada Barisan Nasional (BN), yang mengadakan majlis pelancaran jentera PRN Melaka di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis lalu.

PKR turut dikenakan kompaun RM10,000 oleh pihak polis selepas mengadakan program penerangan bergerak yang didakwa tanpa kehadiran perhimpunan di Taman Krubong Jaya, pada Sabtu lalu.

Pada 24 Oktober lalu, Khairy mengumumkan, sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya, termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya dilarang bermula 25 Oktober hingga 27 November 2021.

BERITA BERKAIT
POPULAR