Laman sesawang Agenda Daily digodam selepas lapor krisis Palestin

Laman sesawang Agenda Daily diserang penggodam sejak 10 Mei lalu selepas melaporkan banyak berita mengenai kekejaman rejim Zionis ke atas rakyat Palestin.

Susulan laporan berterusan 24 jam mengenai keadaan di Semenanjung Gaza yang dibom rejim pengganas Israel sejak Isnin lalu, laman sesawang Agenda Daily diserang dan digodam pihak tidak bertanggungjawab sejak 10 Mei lalu.

Serangan itu dipercayai dilakukan kumpulan penyokong rejim pengganas Israel, selepas dua laporan berita Agenda Daily dikongsi ribuan pembaca dalam ratusan kumpulan WhatsApp, Twitter dan Facebook, di Malaysia dan Indonesia.

Malah, berita Agenda Daily bertajuk ‘Al-Qassam beri amaran supaya Israel keluar dari Al-Aqsa 6 petang esok’ yang disiarkan 10 Mei lalu mendapat perkongsian melebihi 175,000 pembaca, menyebabkan sistem kami tergendala beberapa jam akibat trafik yang terlalu tinggi.

Manakala, laporan bertajuk ‘Briged Al-Qassam cabar Israel serang habis-habisan jika berani’ pada 13 Mei pula dikongsi lebih 4,700 pembaca. Susulan perkongsian laporan ini di pelbagai medium media sosial pengendali laman Facebook telah menarik keluar berita itu, sejak malam tadi, kononnya ia melanggar standard komuniti.

Malam tadi juga pangkalan data Agenda Daily diserang dari luar negara dengan menggunakan kaedah Serangan penafian-perkhidmatan teragih (DDoS) yang biasa digunakan untuk menghalang media sosial simpatisan Palestin menyebarkan berita.

Arbor Networks – firma perisian yang berpangkalan di Burlington, Massachusetts, Amerika Syarikat – pernah melaporkan trafik tanpa nama dan serangan DDoS meningkat ketika konflik Israel-Palestin, sejak beberapa tahun lalu.

Serangan DDoS terhadap Agenda Daily dipercayai dilakukan dengan cara membanjiri laman web dengan jumlah trafik yang tinggi sehingga ke titik yang tidak dapat ditangani oleh sistem, menyebabkan pengguna lain tidak dapat mengakses laman Agenda Daily.

Serangan DDoS akan mengirim banyak permintaan ke sumber laman web yang diserang menggunakan ‘zombie’ – melebihi kemampuan pangkalan data untuk menangani banyak permintaan.

Walaupun laman Agenda Daily pulih tidak sampai sejam selepas jurutera IT melakukan penyelenggaraan dengan pantas, serangan teruk terus dilakukan.

Penggodaman terhadap Agenda Daily terus dibuat dari semasa ke semasa hingga ke hari ini, menyebabkan portal agendadaily.com tidak dapat diakses, selain berita-berita baharu dikeluarkan dari laman kami.

Agenda Daily akan terus menyiarkan laporan terkini mengenai perkembangan konflik Palestin-Israel dari semasa ke semasa.

Agenda Daily juga ingin memaklumkan bahawa laman sesawang agendadaily.com diurustadbir oleh syarikat persendirian yang bebas daripada bantuan mana-mana pihak.

POPULAR