Lalitha tak boleh dipercayai, kata Azam Baki dalam pernyataan balas

Tan Sri Azam Baki mencerminkan bekas penyelidik Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Lalitha Kunaratnam, sebagai individu tidak boleh dipercayai, dan bukannya seorang wartawan penyiasat seperti diakuinya.

Dalam jawapan balas kepada pernyataan pembelaan Lalitha, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu juga memberitahu beliau dan SPRM tidak pernah mempunyai sebarang hubungan kerja secara peribadi dengannya.

Beliau mempersoalkan dakwaan wanita itu yang kononnya mempunyai hubungan kerjaya yang baik dengan beliau dan kakitangan SPRM.

Memetik laporan BH, Azam menafikan dakwaan hubungan baik itu dan menegaskan jika ia benar, sepatutnya akan memudahkan lagi kerja wanita itu untuk mendapatkan pengesahan daripadanya sebelum mengarang serta menerbitkan artikel dan ciapan fitnah berkenaan.

“Sebaliknya, defendan mengarang, menerbitkan dan menerbitkan semula artikel serta ciapan itu tanpa mendapatkan pengesahan dan maklum balas daripada saya terlebih dulu.

“Pernyataan defendan di sini jelas bertujuan mengelirukan mahkamah dengan mendakwa kononnya dia (Lalitha) mempunyai hubungan kerja yang baik dengan saya dan kakitangan saya sedangkan saya dan SPRM tidak pernah mempunyai sebarang hubungan kerja secara peribadi dengannya.

“Defendan juga tidak memberikan sebarang butiran berkenaan nombor pemberi maklumat yang sepatutnya beliau miliki selaku seorang pemberi maklumat berdaftar dengan pihak berkuasa,” katanya dalam dokumen jawapan kepada pernyataan pembelaan yang difailkan hari ini.

Azam berkata, sebagai ‘wartawan penyiasat’, Lalitha sepatutnya perlu mendapatkan maklumat penuh atau sekurang-kurangnya nama penuh pegawai dikenali sebagai ‘Hong’ dan nombor pemberi maklumat diberikan pihak berkuasa (seperti didakwanya dalam pernyataan pembelaan).

Katanya, pernyataan defendan mencerminkan kredibiliti Lalitha yang tidak boleh dipercayai dan bukan seorang wartawan penyiasat seperti diakui olehnya.

Dalam saman difailkan pada 12 Januari lalu, Azam melalui pernyataan tuntutan menegaskan tindakan Lalitha menulis dan menyiarkan dua artikel memfitnahnya, seolah-olah menghina Yang di-Pertuan Agong yang melantiknya mengikut undang-undang.

Menurutnya kenyataan fitnah dalam dua artikel itu seolah-olah bermaksud beliau menerima kenaikan pangkat tanpa melalui sebarang proses wajar, sedangkan sudah berkhidmat dengan SPRM sejak 1984 dan hanya dilantik ke pangkat tertinggi selepas hampir 30 tahun berkhidmat dengan SPRM.

Beliau berkata, kenyataan itu memfitnah SPRM secara keseluruhannya seolah-olah agensi itu tidak mempunyai sebarang proses wajar dalam isu kenaikan pangkat.

Menurut Azam, artikel diterbitkan pada Oktober dan Disember tahun lalu di portal Independent News Service (INS) juga secara tidak langsung menggambarkan beliau dan adiknya menyokong politik berhaluan kiri serta aktiviti menyalahi undang-undang.

Beliau berkata, kenyataan yang mengaitkannya dengan pemilikan saham secara salah, turut memfitnah dan mencemarkan serta berniat menjatuhkan agensi penguatkuasaan berkenaan.

Dalam tuntutan samannya, Azam memohon injuksi bagi menghalang Lalitha atau ejennya daripada membuat, menerbitkan atau menyebabkan kenyataan fitnah itu diterbitkan semula.

Beliau turut memohon defendan memadamkan artikel dan ciapan serta menuntut ganti rugi am sebanyak RM10 juta, ganti rugi teruk, kos serta relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, peguam Mohamed Ibrahim Mohamad yang mewakili Lalitha memberitahu media bahawa pengurusan kes ditetapkan pada 8 Mac ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR