Laidlaw tak layak wakili Najib, kata peguam KL kepada mahkamah

June 29, 2022 · Isu semasa

Peguam Britain Jonathan Laidlaw, yang cuba dibawa oleh Datuk Seri Najib Razak untuk mewakilinya dalam rayuan terakhir terhadap sabitan kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, mendapat tentangan Jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur.

Jawatankuasa itu, yang kini mewakili hampir 10,000 peguam di Kuala Lumpur, hari ini membantah Laidlaw dibenarkan hadir sebagai peguam di Malaysia hanya untuk kes Najib sambil berhujah bahawa peguam bela utama Najib sekarang, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, lebih sesuai untuk peranan itu.

Dalam afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh Pengerusi Jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur Vivekananda Sukumaran bagi menentang permohonan Laidlaw untuk dibenar mewakili Najib, jawatankuasa itu berhujah bahawa peguam Britain itu tidak memenuhi keperluan undang-undang mengikut Seksyen 18 Akta Profesion Undang-undang untuk layak diterima masuk sebagai peguam di Malaysia.

Memetik laporan MalayMail, jawatankuasa itu juga berkata Laidlaw tidak mempunyai sebarang kelayakan atau pengalaman khas yang tidak terdapat dalam kalangan peguam Malaysia sendiri.

Jawatankuasa itu menekankan bahawa Shafee sendiri berada pada kedudukan yang baik untuk mewakili Najib dalam rayuan terakhir SRC di Mahkamah Persekutuan, kerana beliau pernah menjadi peguam bela utama Najib di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan untuk kes berkenaan dan permohonan berkaitan.

“Tiada apa-apa yang menunjukkan bahawa Shafee telah hilang keyakinan untuk mempertikaikan rayuan itu; mahupun perayu hilang keyakinan terhadap kecekapan Shafee untuk melaksanakan peranannya sebagai peguam utama dalam rayuan itu,” kata Vivekananda dalam afidavitnya bagi pihak Jawatankuasa Peguam KL.

Shafee mempunyai pengalaman yang mencukupi untuk mewakili Najib dalam rayuan SRC di Mahkamah Persekutuan, menunjukkan bahawa beliau adalah timbalan pendakwa raya yang mengendalikan pendakwaan jenayah dan kes berprofil tinggi sehingga beliau meninggalkan Jabatan Peguam Negara pada 1983, kata jawatankuasa itu.

Jawatankuasa itu juga berkata Shafee, sebagai peguam swasta, mempunyai pengalaman dalam mengendalikan kes rasuah berprofil tinggi dan terlibat dalam perkara yang membabitkan isu Perlembagaan yang berkaitan seperti hak untuk perbicaraan adil, dan pengalamannya juga termasuk undang-undang komersial.

“Akhirnya, adalah juga diragui sama ada pemohon, seorang pengamal asing, yang tidak mengendalikan perbicaraan panjang mahupun rayuan dan kurang pengetahuan tempatan (malah mungkin eksibit dalam Bahasa Malaysia) akan dapat memberikan bantuan yang berkesan kepada Mahkamah Persekutuan dalam hal rayuan ini,” katanya.

Antara lain, Jawatankuasa Peguam KL berhujah bahawa isu utama yang dijangka timbul dalam rayuan akhir SRC adalah mengenai tafsiran undang-undang Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan, dan berkata Laidlaw nampaknya tidak mempunyai kelayakan atau pengalaman khas dalam hal undang-undang tersebut.

Jawatankuasa itu berkata terdapat ramai peguam Malaysia yang kompeten dengan kelayakan dan pengalaman yang berkaitan dan bersedia untuk menghujahkan bidang undang-undang tersebut, sebelum kemudiannya mengetengahkan kesesuaian Shafee untuk mewakili Najib untuk memberi hujahan undang-undang tersebut dalam rayuan SRC.

Pada 27 Jun, Badan Peguam Malaysia juga memfailkan afidavit untuk menentang permohonan Laidlaw, dengan alasan bahawa Shafee dan pasukan peguamnya telah terlibat dalam kes SRC sejak awal dan sudah biasa dengan pertuduhan serta undang-undang yang berkaitan, dan peguam kanan itu juga mempunyai pengalaman yang lebih baik dan kelayakan daripada Laidlaw.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dijadual mendengar permohonan Laidlaw pada 6 Julai.

Mahkamah Persekutuan dijadualkan mendengar rayuan Najib dalam tempoh 10 hari dari 15 Ogos hingga 19 Ogos, dan dari 22 Ogos hingga 26 Ogos.

Rayuan SRC di Mahkamah Persekutuan ini akan menjadi rayuan terakhir yang boleh diteruskan oleh Najib, memandangkan sabitan ke atas penyelewengan RM42 juta dana SRC adalah di Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 dan rayuannya sebelum ini di Mahkamah Rayuan ditolak sebulat suara oleh panel tiga hakim pada 8 Disember 2021.

Menjelang perbicaraan rayuan terakhir pada Ogos ini, Najib juga pada 7 Jun memohon kepada Mahkamah Persekutuan untuk menambah bukti lanjut yang didakwanya ditemuinya baru-baru ini, dan sedang memohon keseluruhan perbicaraannya bagi kes SRC di Mahkamah Tinggi untuk diisytiharkan terbatal dan tidak sah dan untuk perbicaraan semula.

Berita berkaitan
Isu 1MDB dahulu Najib juga nafikan, akhirnya didakwa di mahkamah
2 jam lalu· Politik
Siasatan kapal tak siap di peringkat akhir, kata SPRM
August 6, 2022· Isu semasa
Wanita Malaysia lahir anak di luar negara tak layak dapat kerakyatan
August 5, 2022· Isu semasa
Permohonan Indira Gandhi mulakan prosiding terhadap IGP ditolak
August 5, 2022· Isu semasa
Popular
Rakyat mahu tahu Menteri mana guna kuasa tukar reka bentuk LCS
August 7, 2022
Mangsa tetakan meninggal, tuduhan mencederakan bakal diubah
August 8, 2022
Zahid jangan lari tanggungjawab, buat-buat lupa jadi Menteri Pertahanan pada 2011
August 7, 2022
Potong usus jadi pilihan VIP: Untuk cantik atau sihat?
August 8, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Pengerusi PAC bidas Najib tak semak fakta pertikai laporan kapal tak siap
48 minit lalu · Isu semasa
2,728 kes baru semalam, 6 kematian
2 jam lalu · Isu semasa
Potong usus jadi pilihan VIP: Untuk cantik atau sihat?
2 jam lalu · Isu semasa
Mangsa tetakan meninggal, tuduhan mencederakan bakal diubah
3 jam lalu · Isu semasa
Tiada pergaduhan kaum di Sungai Petani, kata polis
3 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Jentera UMNO diarah mantap persiapan hadapi PRU-15
August 5, 2022
[VIDEO] Melayu jangan terpengaruh dengan Gerakan Dr M, kata Naib Presiden UMNO
August 5, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok