Lagi kes mahkamah berpihak kepada UMNO, pendakwaan gagal dalam rayuan

Pasukan pendakwaan gagal dalam rayuan berhubung kes melucut hak wang jutaan ringgit milik UMNO dan Wanita MCA serta enam entiti lain selepas permohonan ditolak Mahkamah Rayuan hari ini.

Pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya untuk melucut hak wang RM192,965,413.61 milik UMNO; Wanita MCA (RM300,000), Perano iaitu sebuah syarikat menjual hijab dan Binsabi Sdn Bhd, yang membekalkan khemah, masing-masing membabitkan jumlah RM337,634.78 dan RM827,250; Habib Jewels Sdn Bhd (RM100,000); K&Z Enterprise Sdn Bhd (RM138,359.60); Badan Perhubungan UMNO Kedah (RM1.05 juta) dan Hattatex Trading (RM111,590).

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Abu Bakar Jais juga membenarkan rayuan oleh Badan Perhubungan UMNO Pahang terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan pendakwaan untuk melucut hak RM2,479,300.18 yang disita daripada badan perhubungan UMNO negeri itu.

“Mahkamah mendapati hakim perbicaraan telah melakukan kesalahan dan mengabaikan fakta bahawa wang tersebut telah dibelanjakan, tidak ada lagi dan wang yang disita adalah dari sumber lain dan merupakan wang yang sah.

“Oleh itu, kami membenarkan rayuan perayu (UMNO Pahang) dan mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi,” kata Hakim Hadhariah lapor Bernama ketika membaca keputusan ringkas dalam prosiding secara maya.

Wang itu, yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), didakwa mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Terdahulu, Hadhariah dalam membacakan penghakimannya, berkata mahkamah itu mendapati Hakim Mahkamah Tinggi dalam rayuan UMNO Pahang terkhilaf apabila tidak menghiraukan fakta yang tidak boleh dipertikaikan bahawa duit yang diberikan oleh Datuk Seri Najib Razak sudah dibelanjakan dan wang itu adalah dari sumber lain yang tidak bercanggah dengan undang-undang.

“Sehubungan itu, Mahkamah Rayuan ini membenarkan rayuan perayu dan mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan pendakwaan melucut hak RM2,479,300.18 disita daripada Badan Perhubungan UMNO negeri itu,” katanya.

Sementara itu, dalam penghakiman membabitkan permohonan kerajaan untuk melucut hak harta lapan entiti termasuk UMNO dan Wanita MCA membabitkan wang juta ringgit, Mahkamah Rayuan berpendapat tiada alasan untuk mengganggu keputusan Mahkamah Tinggi.

Sehubungan itu katanya, Mahkamah Rayuan menolak permohonan rayuan pendakwaan dan bersetuju dengan Hakim Mahkamah Tinggi bahawa duit yang diterima daripada Najib adalah pembayaran bagi perkhidmatan yang diberikan oleh responden kepada bekas Perdana Menteri itu.

“Responden menyokong kes mereka dengan bukti dokumen seperti invois. Selain itu responden juga tiada pengetahuan dan sebab untuk mengesyaki bahawa duit yang diterima daripada Najib adalah hasil aktiviti haram.

“Hakim Mahkamah Tinggi berpendapat adalah tidak adil untuk melucut hak terhadap duit responden tanpa bukti daripada pendakwaan bahawa wang berkenaan adalah hasil aktiviti haram dan menolak permohonan pendakwaan,” katanya.

Badan Perhubungan UMNO Pahang pula mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pendakwaan untuk melucut hak RM2,479,300.18 yang disita daripada badan perhubungan UMNO negeri itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR