
Data 2 Jun 2021
Hari ini negara sekali lagi mencatat sejarah hitam apabila 126 kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi menjadikan kumulatif kes kematian sebanyak 2,993.
Pada 30 Mei lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan jumlah kematian tertinggi sebanyak 98 kes yang dianggapnya satu detik hitam negara.
Kes kematian hari ini membabitkan 29 di Selangor; 18 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; 14 kes di Negeri Sembilan; 12 kes di Kelantan; 11 kes di Johor; dan 10 kes di Kedah.
Wilayah Persekutuan Labuan pula mencatatkan lapan kematian; masing-masing lima kes di Melaka dan Terengganu; empat kes di Sarawak; tiga kes di Pahang; masing-masing dua kes di Sabah, Wilayah Persekutuan Putrajaya, dan Perak; serta satu kes di Pulau Pinang.
Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata 878 pesakit kini sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 441 daripadanya memerlukan alat bantuan kecemasan.
Beliau berkata dalam tempoh itu juga 5,777 kes sembuh dilaporkan menjadikan kumulatif 501,898, manakala kes aktif pula mencatatkan 82,274 kes.
Sementara itu sembilan negeri merekodkan peningkatan kes hari ini berbanding semalam membabitkan Selangor; Johor; Pulau Pinang; Kelantan; Negeri Sembilan; Kedah; Pahang; Terengganu; dan Perlis.
Perlis yang tidak mencatatkan kes positif semalam, hari ini merekodkan tujuh kes baharu, manakala Putrajaya pula daripada 18 kes semalam yurun kepada satu kes.
Dr Noor Hisham juga mengingatkan bahawa KKM bimbang mengenai situasi penularan kes Covid-19 di kalangan kanak-kanak, terutama yang melibatkan bayi berumur kurang daripada 1 tahun dan kanak-kanak bawah 5 tahun.
“KKM berharap dengan segala maklumat yang diberikan KKM mengenai isu ini dapat menyedarkan semua pihak, terutamanya ibu bapa dan penjaga mengenai situasi penularan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak.
“Ibu bapa adalah berperanan sebagai pelindung kepada kanak-kanak. Mereka perlu mengambil tindakan proaktif untuk melindungi kanak-kanak agar tidak terdedah kepada bahaya Covid-19,” katanya.