
Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengulangi penegasan bahawa projek ladang durian Musang King di Gunung Inas di Baling bukan punca banjir aliran puing yang berlaku pada 4 Julai lepas di daerah itu sehingga mengorbankan tiga nyawa.
Menurut beliau, ia selepas pihaknya meneliti laporan yang dikemukakan pakar-pakar dari pelbagai agensi yang terlibat dalam menyiasat punca kejadian yang diketuai Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), menurut Bernama.
Beliau berkata tiada kolam takungan air projek ladang durian itu yang dikesan pecah seperti dakwaan pihak tertentu.
“Kalau ikut pakar yang mengemukakan laporan kepada agensi yang diketuai oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), tidak ada sebab (untuk mengaitkan) projek Musang King.
“Kolam Musang King tidak pecah, jadi itu hanya usikan daripada netizen dan orang ramai dengan fakta yang tidak benar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Perumahan Bantuan Banjir Baling di Kampung Sadek dekat Baling, hari ini.
Beliau demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan penduduk Kampung Padang Empang dekat sini agar projek ladang durian itu dihentikan susulan tragedi banjir itu sehingga memusnahkan 17 rumah penduduk akibat dibawa arus deras.
Mengulas kejadian banjir di beberapa kampung di Mukim Baling semalam yang didakwa akibat aliran air dari Gunung Inas, Muhammad Sanusi berkata puncanya belum dapat dipastikan.
“Tunggu laporan KeTSA,” katanya.
Katanya dakwaan yang mengaitkan projek Musang King sebagai punca kejadian banjir disifatkan sebagai usikan daripada ‘netizen’ tanpa mengemukakan fakta yang tepat termasuk kejadian banjir kilat di beberapa kampung di Mukim Baling, pada Selasa.
Seramai 41 mangsa banjir membabitkan 12 keluarga dari lima kampung ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Baling setakat 8 pagi.
Menteri Besar Kedah itu juga berkata projek ladang durian Musang King di Hutan Simpan Kekal Rimba Teloi, Sik akan diteruskan.
“Di Sik, ada jawatankuasa yang ditubuhkan… dah melawat semua tempat yang berisiko. Sik itu kawasan muka bumi tidaklah tinggi macam Gunung Inas… kawasan berbukit tetapi tak tinggi sangat. Jarak dengan kampung terdekat sekitar dua kilometer,” katanya.