Labuan catat peningkatan kes baharu semalam, negeri lain turun

Semua negeri, kecuali Labuan, mencatat penurunan jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari semalam, yang merekodkan 3,108 kes keseluruhan – terendah sejak 3 Mei lalu yang merekodkan 2,500 kes.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri, Labuan mencatat 12 jangkitan baharu berbanding lapan kes semalam, menjadikan kumulatif 10,755 kes dengan 10,517 pesakit sembuh, dan 151 kematian.

Jangkitan tertinggi semalam direkodkan di Selangor yang mencatat 919 kes, berbanding 1,114 kes Sabtu, menjadikan kumulatif positif sejak awal tahun lalu di negeri itu sebanyak 777,176 kes dengan 752,225 pesakit sembuh, dan 9,886 kematian.

Sehingga semalam Selangor merekodkan 15,065 kes aktif, dengan 13,497 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 691 ditempatkan di PKRC; 811 dimasukkan ke hospital; dan 66 pesakit dirawat di unit rawatan rapi, termasuk 42 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam tempoh sama juga, negeri itu mencatat 84 kluster yang masih aktif, dan 1,211 lagi telah ditamatkan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan daripada 3,108 jangkitan semalam, 1.8 peratus atau 57 pesakit adalah dalam kategori 3, 4 dan 5, manakala 3,051 lagi kategori 1 dan 2.

Menurutnya, sehingga kini 390 pesakit masih dirawat di ICU dengan 211 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Dua kluster baharu turut dikesan menjadikan keseluruhannya 6,079 kluster dengan 5,827 telah ditamatkan dan 252 lagi masih aktif.

“Seramai 3,701 pesakit dilaporkan sembuh semalam menjadikan kumulatif 2,634,381 pesakit telah pulih, berbanding 2,718,955 kumulatif positif,” katanya.

Daripada jumlah kes keseluruhan semalam, 3,071 adalah penularan tempatan yang turut melibatkan 132 bukan warganegara dan 37 kes import yang juga melibatkan enam rakyat asing.

BERITA BERKAIT
POPULAR