Labuan capai imuniti kelompok hari ini

July 27, 2021 · Isu semasa

Lapan puluh peratus populasi dewasa menerima suntikan hari ini menjadikan Labuan sebagai negeri pertama di Malaysia mencapai imuniti kelompok dalam usaha membendung penularan Covid-19.

Sehingga kini Wilayah Persekutuan itu telah memberi suntikan vaksin kepada 54,800 daripada 68,500 penduduk dewasa yang disenaraikan sebagai layak untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Labuan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Labuan menyifatkan program ini sebagai tugas yang sukar tetapi mengakui kerjasama berpasukan yang hebat telah membuahkan kejayaan.

Memetik laporan Bernama, Pengerusi CITF Labuan Rithuan Ismail berkata sebanyak 54,800 (80 peratus) daripada jumlah populasi yang layak untuk divaksin, telah menerima dua dos vaksin.

“Kami gembira dapat mencapai imuniti kelompok tiga hari lebih awal daripada tarikh sasaran iaitu 30 Julai.

“Pencapaian itu adalah kejayaan penduduk di pulau ini yang peka terhadap kepentingan vaksinasi Covid-19, serta kerja berpasukan daripada pasukan petugas khas dan masyarakat sebagai sukarelawan yang dinamakan Privo Team (Prihatin Volunteers).

“Jumlah penduduk yang divaksin pada Jun kurang daripada 14,000 tetapi meningkat dengan drastik kepada 40,800 dalam masa 37 hari dan (terus meningkat) hari ini,” katanya selepas menyaksikan seorang individu menerima suntikan dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech, bagi melengkapkan imunisasi terhadap 54,800 orang, di pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan di sini.

PICK Labuan dilancarkan pada 27 Februari lalu oleh Senator Datuk Bashir Alias yang menjadi individu pertama di Labuan menerima dos pertama vaksin.

Secara keseluruhannya, program vaksinasi di Labuan berjalan lancar walaupun terdapat peningkatan jumlah kes dan kemunculan varian Delta.

Setakat semalam, Labuan merekodkan jumlah kumulatif 9,607 kes Covid-19 dan 146 kematian akibat wabak itu. Lapan kes dicatat semalam namun tiada kematian dilaporkan.

CITF Labuan merekodkan 95.7 peratus atau 65,521 daripada 68,500 populasi dewasa menerima suntikan dos pertama vaksin setakat semalam.

Bagi mempercepatkan pencapaian imuniti kelompok, CITF dan JPBN Labuan (diketuai oleh personel Jabatan Kesihatan Labuan) telah memperluaskan program itu dengan menjalankan vaksinasi dari rumah ke rumah untuk memberikan suntikan kepada orang kurang upaya (OKU) dan mereka yang terlantar sakit.

“Kami juga melaksanakan vaksinasi pandu lalu dan ‘walk-in’ yang dikendalikan oleh Majlis Perwakilan Penduduk, menyaksikan ramai penduduk dari 27 kampung datang ke PPV,” katanya dan menambah Labuan mempunyai sembilan PPV termasuk satu di terminal feri antarabangsa untuk pekerja dalam sektor perkapalan, serta minyak dan gas.

JPBN dan CITF Labuan yang diketuai oleh Jabatan Kesihatan turut disertai wakil daripada Perbadanan Labuan, Majlis Keselamatan Negara, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata penduduk Labuan harus bersedia untuk hidup dengan Covid-19 dan yang paling penting, perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Sekurang-kurangnya satu ke dua tahun kita akan hidup dengan pandemik ini. Kita perlu memastikan ahli keluarga dan rakan-rakan telah divaksin penuh bagi melindungi diri kita daripada Covid-19,” katanya.

Berita berkaitan
Sebanyak 32.8 peratus kes baharu Covid-19 di Sarawak disebabkan BA.5
August 11, 2022· Isu semasa
Kes baharu Covid-19 sebanyak 3,927 dengan enam kematian baharu
August 6, 2022· Isu semasa
Dua peguam Zahid dijangkiti Covid-19, bicara kes rasuah YAB ditangguh
August 5, 2022· Isu semasa
Kadar pengangguran masih tinggi walaupun turun pada 2022
August 3, 2022· Isu semasa
Popular
Serang ustaz, pelajar tahfiz: Dua lelaki ditahan, tiga masih diburu
August 12, 2022
Menteri agama gesa KDN ambil tindakan wanita pakai ihram lelaki
August 12, 2022
Skandal LCS: “Duit BNS sudah habis, esok pun company boleh lingkup”
August 13, 2022
Jho Low, bapa abai perintah beku aset: 1MDB dibenar bertindak
August 13, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Pakar ekonomi jangka OPR naik dua kali lagi, mungkin naik bayaran pinjaman
2 jam lalu · Isu semasa
Jho Low, bapa abai perintah beku aset: 1MDB dibenar bertindak
5 jam lalu · Isu semasa
Kementerian ambil tindakan segera insiden pelanggaran data iPay88
6 jam lalu · Isu semasa
Skandal LCS: “Duit BNS sudah habis, esok pun company boleh lingkup”
6 jam lalu · Isu semasa
Jumlah pesakit sembuh semalam mengatasi jangkitan baharu Covid
6 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Bersatu serah memorandum tubuh RCI siasat projek LCS
August 10, 2022
[FOTO] Dragon Muay Thai gegar Bukit Bintang
August 8, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok