KWSP sokong tamat skim i-Citra, tamparan buat Asyraf Wajdi, Pemuda

December 28, 2021 · Isu semasa

Satu lagi tamparan buat Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki hari ini apabila Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberi sokongan supaya pengeluaran khas i-Citra tidak dilanjutkan sehingga tahun depan.

Dua hari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengeluaran wang KWSP berjumlah RM10,000 biarpun ada permintaan agar ia dipertimbangkan bagi tujuan meringankan beban mangsa banjir yang terjejas.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga tidak berhasrat meluluskan pengeluaran i-Citra bagi kali kedua setelah skim berkenaan berakhir bulan ini.

Namun, hari ini, Asyraf Wajdi yang mahu menjadi ‘hero’ one-off i-Citra RM10,000, seperti menyindir Perdana Menteri dengan menganggap kemudahan pinjaman yang disediakan menerusi beberapa agensi, termasuk Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Tekun, terutama kepada mangsa banjir, akan menambah beban hutang orang ramai.

Menerusi kenyataan ‘Alternatif kepada i-Citra KWSP: Tambahan bantuan atau galakkan berhutang’, Asyraf Wajdi menyifatkan kemudahan pinjaman yang diumumkan Ismail Sabri sebagai inisiatif berhutang yang tidak menyelesaikan masalah. Berita berkaitan

Bagaimanapun, KWSP dalam satu kenyataan yang dilaporkan media tempatan hari ini menyatakan sokongan supaya pengeluaran khas i-Citra diberhentikan bagi membantu ahli membina semula kecukupan simpanan persaraan mereka.

KWSP berkata, kepelbagaian bantuan kewangan kerajaan yang ditawarkan kepada individu dan perniagaan untuk pemulihan daripada pandemik dan banjir baru-baru ini adalah dialu-alukan semasa waktu sukar ini, justeru, sebarang pengeluaran khas daripada simpanan KWSP pada masa hadapan adalah dianggap tidak perlu.

KWSP adalah dana persaraan yang diberi mandat bagi melindungi simpanan ahli untuk keperluan dan kesejahteraan masa depan persaraan mereka.

“Ditubuhkan sejak 1951, KWSP adalah tertakluk di bawah Akta KWSP 1991, yang menetapkan bahawa Akaun 1 (70 peratus simpanan) ditetapkan untuk persaraan, manakala Akaun 2 (30 peratus simpanan) adalah untuk pengeluaran lain-lain yang dibenarkan bagi menjamin masa depan persaraan yang lebih cerah.

“Walau bagaimanapun, tiada peruntukan dalam akta yang membenarkan pengeluaran untuk bencana alam,” kata KWSP.

KWSP berbesar hati dengan pendirian beberapa kesatuan negara seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), yang menyuarakan kebimbangan mereka terhadap masa depan persaraan pekerja di Malaysia dan mahukan pemberhentian pengeluaran khas simpanan KWSP.

Ketika negara sedang membina semula ekonomi dan orang ramai telah kembali bekerja, tumpuan utama kini adalah untuk memulih dan membina semula simpanan KWSP.

Fokus KWSP kini adalah untuk terus melindungi simpanan ahli, selaras dengan mandatnya, dan memastikan ahli turut memulihkan dan membina semula simpanan persaraan mereka bagi menjamin persaraan yang selesa.

KWSP amat bersimpati dengan rakyat Malaysia berikutan kejadian banjir. Sebagai organisasi yang bertanggungjawab dari segi sosial, KWSP dan organisasi lain perlu memainkan peranan penting ke arah kesejahteraan masyarakat.

Oleh yang demikian, KWSP, melalui penyertaannya di bawah Rangkaian Tindak Balas Bencana GLIC/GLC (GDRN), telah menawarkan sokongannya melalui sumber di bawah keupayaannya, termasuk peruntukan RM10 juta yang diperoleh daripada penjimatan melalui perbelanjaan operasi yang telah diperuntukkan oleh KWSP.

KWSP ingin menegaskan bahawa tiada kesan material ke atas dana atau pulangan ahli kerana peruntukan berkenaan adalah daripada perbelanjaan operasi yang telah diperuntukkan.

Bantuan akan disalurkan melalui sumbangan berbentuk barangan yang diperlukan oleh mereka yang terjejas dan disalurkan melalui pertubuhan amal bukan untung yang berkredibiliti.

Dengan hampir 15 juta ahli, sebarang bantuan melalui pertubuhan kebajikan dan melalui usaha sukarelawan KWSP sendiri akan memberi manfaat kepada ahli dan keluarga mereka secara langsung dan tidak langsung.

“Dengan langkah yang dilaksanakan untuk menyokong pemulihan ekonomi, KWSP berharap ini akan membantu dalam menangani keperluan rakyat sambil meyakinkan ahli bahawa KWSP kekal komited terhadap mandat dan tujuannya untuk menjamin kesejahteraan masa depan persaraan ahli,” kata KWSP.

KWSP berkata, skala dan kesan pandemik COVID-19 yang tidak dijangka serta kejadian bencana alam baru-baru ini menolak perlindungan sosial semasa negara ke tahap maksimum dan pendekatan menggunakan simpanan KWSP untuk keperluan kecemasan pastinya akan memberikan impak yang teruk tatkala ahli sedang berhadapan dengan ketidakcukupan wang simpanan persaraan, ditambah lagi dengan ketidaktentuan lain seperti peningkatan kos penjagaan kesihatan.

Skim pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar pada 2020, diikuti oleh i-Citra pada Julai 2021, adalah bersifat luar biasa kerana inisiatif itu telah diperkenalkan semata-mata untuk memenuhi keperluan aliran tunai yang mendesak semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kelembapan ekonomi.

Setakat Oktober 2021, sebanyak RM101 bilion dikeluarkan di bawah tiga skim pengeluaran ini. Ini adalah bersamaan 22 peratus daripada RM530 bilion pakej rangsangan yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Walaupun skim pengeluaran itu memberikan sedikit kelegaan kewangan kepada ahli semasa pandemik dan PKP, ia menyebabkan 6.1 juta ahli kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP mereka, yang mana 3.6 juta daripadanya mempunyai kurang daripada RM1,000, sememangnya tahap yang tidak dapat menjamin persaraan ahli.

Majoriti mereka yang membuat pengeluaran kecemasan daripada KWSP adalah dalam kalangan Bumiputera.

Hasil daripada pengeluaran itu, sebanyak 4.4 juta atau 54 peratus ahli Bumiputera kini mempunyai kurang daripada RM10,000, dan dua juta atau 25 peratus mempunyai kurang daripada RM1,000.

“Ini amat membimbangkan kerana bilangan ini mencerminkan peningkatan peratusan ahli yang tidak mencapai kuantum Simpanan Asas KWSP sebanyak RM240,000, iaitu jumlah minimum yang diperlukan oleh ahli apabila mencapai umur 55 tahun,” kata KWSP

Selain penyusutan pendapatan masa depan individu, KWSP juga bimbang bahawa ketirisan selanjutnya akan menjejaskan kedudukannya sebagai organisasi simpanan persaraan dan pemegang amanah masa depan persaraan ahli.

Sebagai pemegang amanah, KWSP mempunyai kewajipan fidusiari dalam menjaga kepentingan yang saksama untuk semua ahlinya, lebih-lebih lagi apabila masih terdapat berjuta ahli yang tidak menyentuh simpanan mereka dengan harapan untuk mendapatkan pulangan yang lebih baik demi menjamin kehidupan persaraan mereka kelak.

“Sehingga kini, terdapat lebih RM270 bilion simpanan KWSP yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa oleh ahli yang sudah mencapai umur lebih 55 dan 60 tahun, mahupun yang mempunyai simpanan lebih RM1 juta dalam akaun KWSP mereka.

“Dibimbangi bahawa kemelesetan kepercayaan terhadap KWSP akan memaksa golongan ahli ini mengeluarkan simpanan mereka dengan banyak akan memberikan impak yang negatif terhadap pasaran domestik memandangkan KWSP adalah tunggak utama dalam pegangan aset pelaburan pasaran modal dan kewangan dalam negara,” katanya.

Pengurusan keselamatan pendapatan hari tua kekal sebagai mandat utama dan panduan kepada pengurus dana persaraan itu dalam membangunkan strategi penjagaan dana warga emas yang sistemik.

Malaysia, kata KWSP, mempunyai sembilan tahun saja lagi untuk mencapai status negara menua pada 2030.

Jumlah warga emas yang memerlukan sokongan kerajaan akan meningkat secara mendadak daripada 3.5 juta pada 2021 kepada 5.3 juta ataupun 15 peratus daripada keseluruhan penduduk pada 2030 dan 7.4 juta ataupun 21 peratus daripada keseluruhan penduduk pada 2042, seterusnya memberikan cabaran dalam merangka dasar dalam aspek seperti pekerjaan, jaminan pendapatan dan penjagaan kesihatan.

Ini menyerlahkan lagi kepentingan mempunyai simpanan dan pendapatan yang mencukupi untuk kesejahteraan masa depan selain membendung sebarang kejutan kewangan masa hadapan, kata KWSP lagi.

Berita berkaitan
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024· Isu semasa
MOF tak benarkan pengeluaran KWSP bersasar kerana jejas simpanan persaraan
November 24, 2023· Isu semasa
Tiada KWSP bersasar, Wan Saiful bidas kerajaan angkuh tak dengar rintihan rakyat
October 24, 2023· Isu semasa
MP Perikatan Nasional gesa kerajaan pertimbang pengeluaran KWSP bersasar
October 12, 2023· Politik
Popular
SPRM ambil keterangan kedua Menteri DAP: Laporan
April 19, 2023
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Atasi segera isu pemerdagangan manusia
August 27, 2022
Punca penderaan di taska meningkat
April 24, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok