Kurus sihat dengan pemakanan seimbang, senaman

Beberapa bulan lalu, penampilan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun bertubuh langsing dalam persalinan kurung Pahang, mencipta kekaguman dalam kalangan warganet. Maka ramai menyimpan niat tampil anggun seperti Rina.

Namun, realitinya proses penurunan berat badan, bukanlah terlalu mudah dan boleh dibuat sambil lewa. Ketua Jabatan Diet dan Dietetik Hospital KPJ, Nor Lizawati Che’ Lah menjelaskan, pemakanan seimbang mengikut piramid makanan membantu mendapatkan tubuh ideal.

“Untuk mendapatkan berat badan tersebut, seseorang itu bukan sahaja perlu mengawal pemakanan tetapi juga perlu keseimbangan dengan aktiviti fizikal,” katanya.

Berat badan ideal ialah julat indeks jisim tubuh normal iaitu 18.5 hingga 24.9kg/m2. Walaupun piramid makanan boleh dijadikan panduan, ada juga pihak menyarankan cara pemakanan khusus seperti diet puasa (intermitten fasting) dan diet karbohidrat.

Dalam pada itu, pembedahan bariatrik biasanya disarankan untuk individu yang gagal menurunkan berat badan selepas mengikuti program penurunan berat badan secara semula jadi iaitu pengawalan makanan dan senaman secara rutin.

Pembedahan umumnya disarankan kepada individu mempunyai BMI (IJT) melebihi 40kgm-2 atau mempunyai masalah perubatan seperti obesiti.

Nor Lizawati berkata, ramai mahukan berat badan ideal namun gagal kerana cara diikuti salah atau tidak konsisten dalam pengawalan makanan dan melakukan senaman atau aktiviti fizikal.

“Usah meniru cara individu lain menurunkan berat badan. Setiap orang berbeza dan unik. Sebaiknya jumpa jurulatih kecergasan, pakar diet atau pemakanan, bincang cara terbaik tentang program penurunan berat badan sesuai,” katanya.

Selain itu, orang ramai perlu tahu bahawa tidak ada jalan mudah untuk mengurangkan berat badan. Beliau mendedahkan, ada pendapat mengatakan penurunan berat badan hanya melibatkan 20 peratus aspek senaman manakala 80 peratus pengawalan pemakanan.

Namun, konsep itu katanya, sering diguna pakai pengusaha produk. Tegasnya, diet seimbang dan bersenam merupakan salah satu cara mendapatkan fizikal sihat.

“Justeru penurunan berat badan sihat dan realistik memang mengambil masa.

“Ada individu yang melakukan pembedahan bariatrik untuk kurus dan kesannya mungkin lebih pantas tetapi golongan ini masih memerlukan gaya hidup sihat,” katanya.

Tegasnya, paling mustahak adalah disiplin dan konsisten dengan mengamalkan keseimbangan pemakanan sihat.
Selain itu, lakukan senaman secara teratur dan bersesuaian dalam merealiasikan berat badan idaman.

BERITA BERKAIT
POPULAR