
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad; dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, antara yang hadir mengucapkan selamat jalan kepada kumpulan pertama jemaah haji Malaysia di KLIA, hari ini, 4 Jun 2022.
Kumpulan pertama 295 jemaah haji Malaysia berlepas ke Tanah Suci hari menerusi penerbangan Saudia Airlines SV 5635 pada jam 1.35 tengah hari tadi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad; dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, antara kenamaan yang mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji berkenaan.
Kerajaan Arab Saudi memperuntukkan kuota haji sebanyak 14,306 jemaah haji kepada Malaysia pada tahun ini. Dua tahun sejak 2020 jemaah Malaysia tidak dibenarkan mengerjakan haji ekoran pandemik Covid-19.
Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Muhammad Abdulaziz di Madinah, kira-kira 4.55 petang (waktu Arab Saudi).
Pada tahun ini, sebanyak 48 penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia Airlines, akan membawa jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci, dengan penerbangan terakhir pada 3 Julai.
Sementara itu, Bernama melaporkan Pengarah Eksekutif Haji TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman yang juga Ketua Rombongan Haji Malaysia, berkata pihaknya berpuas hati dengan kelancaran proses melapor diri bagi penerbangan pertama itu.
Bercakap kepada media selepas pelepasan jemaah haji itu beliau berkata terdapat tiga jemaah daripada kumpulan pertama itu, di mana keputusan ujian pengesanan Covid-19 tindak balas berantai polimerase (RT-PCR) mereka positif.
“Mereka dah maklumkan pada kami lebih awal dan kami menasihati mereka supaya melalui proses dan prosedur yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM), yang mana mereka perlu menjalani kuarantin yang sepatutnya.
“Selepas itu apabila mereka tiada lagi simptom-simptom, mendapat nasihat dari KKM dan kalau keputusan RT-PCR negatif dan penerbangan masih ada, kita akan cuba sedaya upaya dapatkan penerbangan untuk bawa mereka ke Tanah Suci,” katanya.
Syed Saleh menasihati bakal jemaah haji untuk mengambil ujian RT-PCR 56 jam sebelum melapor diri di stesen-stesen berlepas, dan segera memaklumkan kepada pihak TH sekiranya positif bagi membolehkan pihak TH membuat perancangan bagi membantu mereka menunaikan fardu haji pada tahun ini.