
Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini menyelar penggunaan Akta Hasutan 1948 terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
LFL mengingatkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) tentang pendirian mereka yang menentang undang-undang tersebut semasa menjadi pembangkang.
Menyifatkan ia sebagai ‘hari hitam buat negara’, pengarahnya, Zaid Malek berkata adalah ‘mengerikan’ pertuduhan terhadap Sanusi itu berlaku di bawah kerajaan pimpinan PH.
“Kecaman PH dan ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap undang-undang ini nampaknya hanya ketika tindakan terhadap mereka.
“Kini, mereka tidak ragu-ragu menggunakannya apabila mereka yang berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, lapor MalaysiaNow, hari ini.
Sanusi didakwa di dua Mahkamah Sesyen Selayang pagi ini dengan dua pertuduhan di bawah Akta Hasutan kerana mengkritik kerajaan campuran dan beliau mengaku tidak bersalah serta dibicarakan.
Mempersoalkan pertuduhan terhadap Sanusi, Zaid berkata kerajaan sudah menghalang wacana politik yang sah dan melanggar kebebasan bersuara seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 10 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan.
“Perdana menteri, Anwar sendiri sepatutnya tahu perkara ini selepas mengalami dakwaan sama kerana tidak menghormati institusi diraja sebelum ini termasuk mendesak Agong membatalkan pengisytiharan darurat pada 2021,” katanya.
Sambil menyifatkan Akta Hasutan sebagai konsep undang-undang kuno, beliau berkata kebanyakan negara Komanwel sudah menghapuskannya.
“Peruntukan perkataannya yang luas menjadikan hak kebebasan bersuara menjadi ilusi. Perdana menteri dan menteri serta ahli Parlimen PH yang lain mengetahui tentang perkara ini, itulah sebabnya ia sentiasa menjadi sebahagian daripada janji kempen mereka untuk memansuhkan undang-undang ini,” tambahnya.
Sambil menggesa kerajaan menggantung penguatkuasaan Akta Hasutan sementara menunggu pemansuhan pada sidang Parlimen akan datang, beliau berkata adalah tidak sah untuk menggunakan undang-undang terhadap Perikatan Nasional (PN) dan penyokongnya sama seperti yang pernah digunakan terhadap PH.
“Itu tidak berubah hanya kerana PH berkuasa. Tiada kerajaan yang sah boleh dibenarkan menggunakan kuasa yang diberikan oleh undang-undang ini,” katanya.