
Janji mansuh Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dałam manifesto Pakatan Harapan.
Janji untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) digesa ditunaikan Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya (UM).
Kumpulan mahasiswa itu dalam satu kenyataan mahu semua parti politik tanpa mengira latar belakang mendesak kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) supaya menunaikan janji mereka semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu untuk memansuhkan akta tersebut.
“Kami menggesa semua ahli Parlimen, sama ada blok kerajaan dan pembangkang, untuk bersama-sama dengan mahasiswa dan mahasiswi di Malaysia, terus menyoal dan menekan kerajaan bagi memansuhkan AUKU seperti yang dijanjikan.
“Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) juga harus lebih tangkas dan cepat berjumpa dengan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengenai perkara berkenaan,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Katanya, Angkatan Mahasiswa UM memberi tempoh masa selama 14 hari untuk Mohamed Khaled untuk memberi respon atas tuntutan daripada pihaknya itu.
Menurut Angkatan Mahasiswa, sebelum ini Mohamed Khaled mengeluarkan kenyataan bahawa kementerian tiada cadangan untuk memansuhkan AUKU.
Bagaimanapun, mereka mendakwa, ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Pemuda Pakatan Harapan (PH) berjanji memansuhkan AUKU dan ia juga terdapat di dalam manifesto PH.
“Kerajaan boleh beri alasan bahawa ia tidak boleh dilaksanakan disebabkan kerajaan pada hari ini adalah ‘Kerajaan Perpaduan’. akan tetapi janji tetap janji.
“Memetik kenyataan Khaled di portal berkenaan ‘undang-undang itu masih relevan terutama dalam soal pentadbiran universiti dan kerajaan terbuka untuk menambah baik AUKU dan sentiasa melibatkan pihak berkepentingan’.
“Angkatan Mahasiswa UM tidak menafikan bahawa undang-undang di setiap institusi itu perlu ada, akan tetapi jika AUKU disalahgunakan bukankah ia suatu kemunafikan,” katanya.
Mereka berkata, mengikut laporan media, pada 11 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengeluarkan kenyataan dengan berjanji bahawa ‘Mahasiswa bebas kritik kerajaan.
Katanya, perkara itu tidak semestinya kerajaan yang akan menghalang mahasiswa atau mahasiswa untuk bersuara, ia juga boleh jadi situasi di mana pentadbiran universiti sendiri yang menyalahgunakan kuasa untuk mengekang mereka daripada bebas bercakap soal politik di dalam kampus.