
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mencadangkan kajian lebih lanjut dilakukan bagi memastikan kedudukan sebenar perayaan Bon Odori dalam realiti pelaksanaannya pada masa ini.
Umat Islam wajib mematuhi hukum syarak dalam menghadiri sesuatu majlis walaupun ianya semata-mata perayaan yang bersifat kebudayaan atau aktiviti sosial kekeluargaan.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi kenyataan dalam Bayan Linas Siri Ke-254 menjelaskan demikian ketika mengulas mengenai perayaan masyarakat Jepun, Bon Odori, yang akan diadakan di Shah Alam pada 16 Julai depan.
Sehubungan itu, umat Islam dinasihatkan agar tidak melibatkan diri dalam apa-apa perayaan orang bukan Islam apatah lagi mengikuti ritual-ritual mereka yang bercanggah dengan prinsip Islam serta mengagungkan syiar agama mereka agar tidak membawa fitnah kepada Islam.
Memetik laman sesawang hamamatsu.com, Bayan Linas menyatakan “Obon atau Bon Odori adalah merupakan suatu perayaan orang Jepun yang beragama Buddha, sebagai simbolik merayakan kedatangan roh nenek moyang yang telah mati. Perayaan ini telah disambut di Jepun selama lebih daripada 500 tahun.”
“Mengenai perayaan Bon Odori, walaupun dikatakan ia telah berevolusi sebagai hanya semata-mata perayaan yang bersifat kebudayaan dengan aktiviti sosial kekeluargaan, namun umat Islam wajib mematuhi hukum-hakam syarak dalam menghadiri sesuatu majlis atau tempat perayaan.
“Sekiranya dalam majlis berkenaan ada unsur-unsur yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas, mendedahkan aurat, meminum arak dan sebagainya, maka wajib bagi umat Islam menghindarkan diri dari terlibat dalam aktiviti berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mencadangkan kajian lebih lanjut dilakukan bagi memastikan kedudukan sebenar perayaan Bon Odori dalam realiti pelaksanaannya pada masa ini, sama ada ia masih mempunyai hubungan dengan kepercayaan yang bersifat keagamaan atau semata-mata kebudayaan yang telah terputus daripada kepercayaannya asal.
Ini bagi memastikan sikap dan pendirian orang Islam terhadap Bon Odori adalah benar-benar menepati hukum syarak.
Mengulas mengenai hukum umat Islam menyertai perayaan Bon Odori, kenyataan itu menyebut bahawa pada asasnya umat Islam adalah ditegah untuk menyertai apa-apa perayaan agama lain.
“Para ulama telah bersepakat bahawa hukum menyertai perayaan agama lain, sama ada dengan ucapan atau tindakan pada pakaian, makanan atau minuman yang dikhususkan pada hari perayaan tersebut adalah haram jika bertujuan untuk mengagungkan hari perayaan mereka, bahkan majoriti ulama berpendapat bahawa seorang muslim yang mengagungkan syiar-syiar agama lain boleh jatuh ke lembah kekufuran.
“Manakala individu muslim yang tidak berniat untuk mengagungkannya adalah berdosa, namun tidak sampai ke tahap kufur,” kata kenyataan itu.
Pada 8 Jun lalu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan JAIS tidak mengambil pendirian dan sikap menyekat program Bon Odori yang akan diadakan pada 16 Julai depan.
Dalam satu kenyataan, Mohd Shahzihan juga berkata Sultan Selangor turut menitahkan jabatan itu tidak menghalang mana-mana individu untuk menghadirinya.
Berikut adalah kenyataan penuh Bayan Linas Siri Ke-254 mengenai Bon OdoriĀ