
Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.
Kerajaan digesa mencari langkah segera bagi mengelak nilai mata wang ringgit jatuh ke paras lebih rendah, kata Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.
Tengku Razaleigh atau Ku Li yang juga bekas Menteri Kewangan meramalkan nilai ringgit bakal jatuh hingga RM5.70 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) jika tiada tindakan segera diambil bagi mengekang kejatuhannya dan menyebabkan rakyat terkesan dengan kenaikan harga barang yang sudah membebankan ketikan ini.
“Kebanyakan barang yang diimport terpaksa dibayar menggunakan dolar AS dan apabila dijual dalam negara dengan ringgit, pengguna perlu membayar harga lebih mahal.
“Kita nampak sekarang berlaku ‘free fall of the ringgit’ kerana kerajaan dilihat seolah-olah membiarkan ringgit jatuh. Ekonomi kita pun susah hendak diselamatkan. Pelaburan tidak akan datang dengan ringgit mengalami ‘free fall’ macam itu,” katanya dipetik laporan BH hari ini.
Tengku Razaleigh terdahulu merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Gua Musang.
Menurutnya lagi, kerajaan perlu mencari alternatif lain untuk memulihkan nilai ringgit selepas menolak cadangan untuk menambat seperti dicadangkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Kerajaan mesti bertindak, kalau tidak seolah-olah kita akan menyerah kepada keadaan lebih buruk daripada sekarang. Kerajaan tidak boleh lepas tangan atau berpeluk tubuh jika tidak mahu melaksanakan langkah menambat ringgit.
“Ini soal kehidupan rakyat dan harga barangan pula berada pada paras tinggi. Walaupun ringgit akan pulih, harga dijangka tidak turun semula dan itu tidak baik untuk rakyat serta ekonomi negara,” katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan tidak bercadang untuk menambat ringgit kepada dolar AS kerana langkah itu tidak sesuai dengan keadaan semasa, malah ia tidak pernah dibincangkan pada peringkat Kabinet.
Dr Mahathir sebelum ini mengesyorkan kerajaan kembali menambat ringgit bagi menghentikan ketidaktentuan nilainya dan memulihkan semula kewangan negara.
Ujarnya, kerajaan perlu berani melaksanakan langkah menambat ringgit seperti mana dilaksanakan ketika era pentadbirannya pada 1997 hingga 1998.
“Ringgit kita yang naik turun nilainya. Pendapat saya didapati semasa menangani krisis mata wang pada 1997 hingga 1998. Walaupun tindakan Malaysia dikecam hebat tetapi ia berjaya menghentikan ketidaktentuan nilai ringgit dan kewangan kita dipulih semula.
“Akhirnya Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia mengakui bahawa tindakan Malaysia berjaya menghentikan ketidaktentuan nilai ringgit dan kemiskinan yang berlaku,” katanya.