Kru filem maut, tiga rakan parah termasuk seorang putus tangan

Seorang kru filem maut manakala tiga rakannya parah, termasuk seorang yang putus tangan, setelah kereta dinaiki terbabad dan melanggar tunggul kayu di Kilometer 71, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu berhampiran simpang tiga Kampung Saujana, Setiu, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 1.15 tengah hari tadi, pemandu kereta Perodua Alza, Muhammad Nurshamril Abdul Malek, 27, dari Kuala Lumpur, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, ketika kejadian, mangsa bersama tiga rakan sekerjanya dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Kuala Lumpur.

“Setibanya di tempat kejadian pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas dan terlanggar tunggul kayu di sebelah kiri jalan menghala ke Kuala Terengganu.

“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu mengeluarkan mangsa yang berada dalam kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, penumpang hadapan dikenali Kamarul Anuar Mohamed Nasir, 39, dari Petaling Jaya, Selangor serta penumpang belakang, Amir Daniel Suhaimi, 23, dari Kuantan, Pahang retak tulang di bahagian leher.

Sementara itu seorang lagi penumpang belakang kiri Nur Azizi Nazril Abd Aziz, 26, dari Kuala Lumpur putus tangan kiri, katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

BERITA BERKAIT
POPULAR