Kronologi perbicaraan kes Najib: Dari Putrajaya ke Sungai Buloh

August 23, 2022 · Isu semasa

Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri pertama Malaysia yang menjalani hukuman penjara setelah Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhirnya untuk membatalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, setelah didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Kes membabitkan bekas Presiden UMNO itu bermula sejak 2018 lalu, setelah Barisan Nasional kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Hakim-hakim yang terlibat dalam perbicaraan kes Najib ialah:

Mahkamah Tinggi:
Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Mahkamah Rayuan:
Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil;
Hakim Datuk Has Zanah Mehat; dan
Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Mahkamah Persekutuan:
Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat;
Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim;
Hakim Datuk Nalini Pathmanathan;
Hakim Datuk Mary Lim Thiam Suan; dan
Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Berikut adalah kronologi kes SRC yang melibatkan Najib:

Pada 22 dan 24 Mei 2018 Najib kali pertama dan kedua memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu SRC.

Pada 3 Julai 2018, SPRM menahan bekas Perdana Menteri itu di rumah di Langgak Duta, Kuala Lumpur, kira-kira jam 3 petang. Najib ditahan di lokap SPRM.

PERBICARAAN BERMULA

4 Julai 2018: Najib buat pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan satu tuduhan menyalahgunakan kuasa berkaitan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM42 juta. Perbicaraan kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

8 Julai 2018: Najib dihadapkan ke Mahkamah Tinggi atas tiga tuduhan pengubahan wang haram RM42 juta dana SRC yang diperoleh daripada aktiviti haram.

8 Ogos 2018: Najib didakwa di Mahkamah Tinggi atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana sama (RM42 juta daripada SRC) yang merupakan hasil aktiviti haram.

10 Ogos 2018: Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan Najib untuk melarang media dan orang ramai daripada menerbitkan kenyataan berhubung merit kes jenayahnya yang akan membuat inferens (kesimpulan) Najib bersalah sementara menunggu kesnya selesai.

10 Ogos 2018 – Mohd Nazlan menetapkan 33 hari bermula 12 hingga 28 Februari 2019 dan 4 hingga 29 Mac2019 untuk perbicaraan kes SRC Najib.

13 Ogos 2018: Najib memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak untuk mengeluarkan perintah melarang media dan orang awam daripada menerbitkan kenyataan berhubung merit kesnya.

18 Disember 2018: Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk mendapatkan surat pelantikan Datuk Sulaiman Abdullah bagi mengetuai pasukan pendakwaan dan permohonannya untuk mendapatkan dokumen berhubung kes itu.

15 Januari 2019: Najib menerusi firma guamannya Messrs Shafee & Co telah menulis surat bertarikh 15 Jan kepada Mahkamah Tinggi memohon agar perbicaraan yang dijadualkan pada 12 Feb dilapangkan sementara menunggu tiga rayuan interlokutorinya di Mahkamah Rayuan.

17 Januari 2019: Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Manoj Kurup dalam surat bertarikh 17 Jan 2019 yang dihantar kepada Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, membantah permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan, menyatakan permohonan itu “adalah remeh dan akan menyebabkan kelewatan yang tidak munasabah terhadap perbicaraan yang dijadualkan.

11 Februari 2019: Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sementara perbicaraan sehingga rayuannya berhubung keputusan pendakwa raya menarik balik sijil perpindahan tujuh pertuduhan terhadapnya, selesai.

14 Februari 2019: Mahkamah Rayuan menetapkan 11 dan 12 Mac untuk mendengar empat rayuan Najib bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung permohonan interlokutori Najib mengenai tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC.
11, 12, 15 dan 18 Mac 2019 – Mahkamah Rayuan mendengar empat rayuan Najib.

21 Mac 2019: Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan sementara perbicaraan Najib sehingga Mahkamah Persekutuan mendengar dan memutuskan tiga rayuan interlokutori yang sebelum itu ditolak oleh Mahkamah Rayuan.

21 Mac 2019: Mahkamah Rayuan menolak tiga rayuan Najib iaitu rayuannya untuk mendapatkan perintah melarang media dan orang awam membincangkan merit kes jenayahnya; akses kepada dokumen penyiasatan termasuk kenyataan saksi pada peringkat praperbicaraan; dan mengenai penarikan balik sijil perpindahan pertuduhannya oleh Peguam Negara.

21 Mac 2019: Mahkamah sama bagaimanapun membenarkan rayuan Najib untuk mendapatkan salinan surat pelantikan Datuk Sulaiman Abdullah mengetuai pendakwaan.

27 Mac 2019: Panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sementara perbicaraan sementara menunggu rayuannya berhubung permohonan interlokutorinya selesai.

28 Mac 2019: Mahkamah Tinggi menetapkan 3 April pada 2 petang bagi perbicaraan kes SRC Najib.

1 April 2019: Najib memfailkan satu lagi rayuan (permohonan semakan) terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonannya menangguhkan perbicaraan kesnya berkaitan SRC.

3 April 2019: Perbicaraan bermula di hadapan Mohd Nazlan. Hakim menolak permohonan Najib untuk mengisytiharkan tujuh tuduhan itu cacat.

27 Ogos 2019: Pendakwaan menutup kes setelah memanggil 57 saksi.

3 Disember 2019 – Mahkamah memerintahkan Najib membela diri terhadap tujuh pertuduhan.

11 Mac 2020 – Perbicaraan berakhir setelah 33 hari melibatkan keterangan 19 saksi.

PENGHAKIMAN DAN RAYUAN

28 Julai 2020: Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta setelah mendapati Najib bersalah terhadap tujuh pertuduhan berkenaan.

19 Oktober 2020: Najib memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung sabitan kesalahan dan hukuman Mahkamah Tinggi yang dijadial didengar pada 5 April 2021.

18 Mei 2021: Mahkamah Rayuan selesai mendengar hujahan pembelaan dan pendakwaan berhubung rayuan itu.

23 November 2021: Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Disember sebagai tarikh membuat keputusan berhubung rayuan Najib. Bagaimanapun Najib memohon menunda tarikh itu kerana menjalani kuarantin akibat Covid-19 sehingga 12 Disember. Permohonan itu bagaimanapun ditolak pada hari sama.

2 Disember 2021: Najib memfailkan permohonan kepada Mahkamah Rayuan untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuannya.

7 Disember 2021: Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

8 Disember 2021: Mahkamah Rayuan membuat keputusan mengekalkan sabitan kesalahan dan hukuman yang dikenakan Mahkamah Tinggi. Peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

RAYUAN AKHIR

9 Mei 2022: Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari bermula 15 Ogos untuk mendengar rayuan akhir Najib terhadap kesalahan dan hukuman itu.

21 Julai 2022: Mahkamah Tinggi menolak permohonan Peguam Diraja Britain Jonathan Laidlaw untuk dibenar mewakili Najib dalam rayuan akhir itu.

25 Julai 2022: Najib menamatkan khidmat semua pasukan pembelaannya termasuk Muhammad Shafee dan melantik Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners sebagai peguam cara baharunya.

26 Julai 2022: Pasukan undang-undang baharu Najib diumum, dengan Hisyam Teh Poh Teik sebagai peguam utama.

29 Julai 2022: Mahkamah Persekutuan membuat keputusan meneruskan pendengaran rayuan yang dijadual pada 15 Ogos, walaupun peguam baharu Najib memohon penangguhan dengan alasan memerlukan masa untuk membuat persediaan.

15 Ogos 2022: Peguam Hisyam Teh memfailkan permohonan untuk menambah bukti baharu dalam rayuan terakhir itu.

16 Ogos 2022: Mahkamah Persekutuan sebulat suara menolak permohonan Najib memasukkan bukti baharu. Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, juga menolak permohonan pasukan pembelaan untuk menangguhkan kes itu antara tiga dan empat bulan.

18 Ogos 2022: Mahkamah Persekutuan mula mendengar rayuan Najib setelah menolak permohonan Hisyam Teh untuk menarik diri daripada mewakili Najib. Mahkamah mengarahkan pihak pendakwaan mengemukakan hujahan lisan setelah pasukan pembelaan enggan berbuat demikian.

19 Ogos 2022: Pendakwaan meneruskan penghujahan sebelum menamatkannya, manakala Hisyam Teh kekal enggan membuat sebarang penghujahan pembelaan. Panel lima hakim turut menolak permohonan Hisyam Teh untuk menangguhkan rayuan kepada Khamis (29 Ogos).

23 Ogos 2022: Najib kemuka permohonan supaya Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar rayuan akhir itu. Mahkamah mendengar hujahan pembelaan dan pendakwaan berhubung permohonan itu.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kembali untuk menjadi peguam Najib dan meminta penangguhan perbicaraan, tetapi ditolak.

Mahkamah menolak permohonan Najib supaya Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar rayuan akhirnya.

Najib membacakan kenyataan dihadapan lima hakim Mahkamah Persekutuan.

Tengku Maimun membacakan keputusan menolak rayuan Najib untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara yang dijatuhi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sekali gus menghantar Najib ke penjara.

Berita berkaitan
Anak Najib terlepas kes tak bayar cukai RM10.3 juta, LHDN tarik balik rayuan
20 jam lalu· Isu semasa
Permohonan Najib ke Parlimen ditolak Jabatan Penjara, kata peguam
October 3, 2022· Isu semasa
Perlu kebenaran penjara jika Najib mahu hadir ke Parlimen: Speaker
October 3, 2022· Politik
Kes saman serangan seksual, Yusoff Rawther fail rayuan
September 30, 2022· Politik
Popular
81% pencarum KWSP Bumiputera miliki kurang RM1,000: Laporan
October 1, 2022
Tiada tunai dikeluarkan dari akaun Najib: Saksi beritahu mahkamah
October 5, 2022
Anak Najib terlepas kes tak bayar cukai RM10.3 juta, LHDN tarik balik rayuan
October 5, 2022
PH terbit bajet bayangan 2023
October 5, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Mat Kilau, Paskal ditayang di Gaza
10 jam lalu · Isu semasa
PH terbit bajet bayangan 2023
11 jam lalu · Isu semasa
Tiada tunai dikeluarkan dari akaun Najib: Saksi beritahu mahkamah
14 jam lalu · Isu semasa
Najib mohon semakan kehakiman setelah dilarang hadir Parlimen
14 jam lalu · Isu semasa
249,646 murid dapat manfaat bekalan lokar di 626 sekolah: Radzi
14 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Pemasangan lokar di 626 sekolah selesai Oktober
11 jam lalu
[VIDEO] Pandangan orang awam terhadap PRU15 diadakan tahun ini
October 4, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok