Krisis Palestin-Israel: Malaysia sokong penyelesaian adil, kata PM

Malaysia menyokong Penyelesaian Dua Negara atau Two-State Solution berdasarkan garis sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin sebagai satu-satunya jalan penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penyelesaian ini dilihat paling adil dan saksama dan Malaysia akan terus komited untuk menyokong segala usaha ke arah resolusi berkenaan.

“Malaysia akan terus memberikan sumbangan secara dua hala kepada Palestin selain sumbangan kepada badan-badan antarabangsa,” katanya dalam perutusan khas mengenai Palestin hari ini.

Pada perutusan khas itu, Perdana Menteri turut memakai selendang yang biasa digunakan oleh masyarakat untuk menyatakan solidariti kepada Palestin, selain membaca doa untuk mereka.

Dalam pada itu katanya, Malaysia akan menerajui bersama-sama dengan Indonesia dan Brunei untuk mengeluarkan satu kenyataan bersama bagi mengutuk sekeras-kerasnya serangan zalim regim Israel terhadap Palestin ketika ini.

“Sementara itu Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan mengadakan mesyuarat tergempar terbuka secara maya iaitu Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif OIC di peringkat menteri luar untuk membincangkan perkembangan terkini di Palestin yang dijangka akan berlangsung pada 16 mei 2021, di mana kerajaan Malaysia akan diwakili oleh menteri luar negeri,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) seliaan Kementerian Luar Negeri, Malaysia telah menyumbang sebanyak AS$10,000 kepada Masjid Al-Aqsa pada tahun 2020 dan sumbangan tersebut telah disalurkan kepada Kementerian Awqaf, Jordan.

Sementara itu menurut Muhyiddin lagi bagi membantu kerajaan Palestin membendung wabak pandemik Covid-19, kerajaan Malaysia turut menghulurkan bantuan kepada Palestin dalam bentuk barangan perubatan, iaitu 1 juta pelitup muka, 500,000 pelindung muka (face shields) dan 500,000 sarung tangan getah.

“Sumbangan tersebut telah dihantar menerusi pesawat sewaan khas ke Amman, Jordan pada 10 Mei 2020,” katanya.

Perdana Menteri memaklumkan, bagi tahun 2020 juga Malaysia telah menyumbang sebanyak USD120,000 kepada United Nations Relief and Works Agency in the Near East (UNRWA) bagi menampung kos operasi dan programnya bagi tahun tersebut.

Katanya, Malaysia telah memberikan sokongan yang padu serta sumbangan kepada UNRWA secara konsisten sejak tahun 1978 dan sejak tahun 2015, Malaysia telah menyumbang sebanyak USD600,000 kepada UNRWA.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan keprihatinan badan-badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia serta rakyat Malaysia yang sentiasa membantu rakyat Palestin,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR