
Kemelesetan ekonomi dijangka akan melanda seluruh dunia, bermula dengan Amerika Syarikat menjelang akhir 2022 sebelum merebak ke seluruh dunia pada tahun hadapan. Keadaan ekonomi semasa telah menjelaskan kesemuanya.
Kebanyakan pakar ekonomi percaya bahawa kemelesetan ekonomi diramalkan akan berlaku pada tahun hadapan. Bank Dunia juga memberi amaran tentang ini.
Dengan tekanan inflasi yang semakin hari semakin teruk (naik secara mendadak), pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan pengetatan dasar monetari agresif yang diambil oleh hampir kesemua bank pusat di seluruh dunia, peluang untuk kemelesetan ekonomi berlaku pada tahun 2023 adalah cerah.
Umum mengetahui, ekonomi mempunyai kitarannya tersendiri – turun dan naik. Bak gelombang pasang surut air di lautan, apabila ekonomi naik, ia dipanggil pertumbuhan ekonomi tetapi apabila ia turun, ia dipanggil penguncupan ekonomi atau kemerosotan ekonomi.
Kemelesetan ekonomi boleh didefinisikan sebagai kemerosotan atau penurunan yang ketara, meluas dan berpanjangan dalam aktiviti ekonomi. Kemelesetan berlaku selepas ekonomi mencapai puncak kitarannya dan tersebar atau merebak melibatkan keseluruhan aktiviti ekonomi yang berpanjangan lebih daripada beberapa suku.
Dalam membuat jangkaan bila akan berlakunya kemelesetan ekonomi, tidak ada satu kaedah yang khusus boleh digunakan untuk meramal bila akan berlakunya kemelesetan ekonomi secara tepat
Sementara itu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tidak menolak kemungkinan kemelesetan ekonomi global akan berlaku pada tahun hadapan (2023) berikutan wujud risiko yang tinggi.
Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva memberitahu, prospek ekonomi global telah “menjadi gelap dengan ketara” sejak April lalu sehingga mendorong IMF menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi global pada 3.6 peratus, tahun ini.
Bagaimanapun kata beliau, pakara-pakar ekonomi IMF masih lagi dalam proses mengemas kini data berkenaan.
IMF dijangka akan mengeluarkan unjuran ekonomi untuk 2022 dan 2023 penghujung bulan ini selepas menurunkan unjuran hampir satu peratus pada April. Pada 2021, ekonomi global berkembang pada kadar 6.1 peratus.
“Tinjauan sejak kemas kini terakhir kami pada April telah “menjadi gelap dengan ketara”,” katanya.
Beliau turut memetik penyebaran inflasi yang lebih universal, kenaikan kadar faedah yang lebih besar, kelembapan dalam pertumbuhan ekonomi China, dan peningkatan sekatan yang berkaitan dengan perang Russia-Ukraine.
“Kita berada di perairan yang sangat bergelora,” katanya lagi.
Ditanya sama ada beliau boleh menolak kemelesetan global, Georgieva berkata: “Risiko telah meningkat, jadi kita tidak boleh menolaknya.”
Tambah beliau, data ekonomi terkini menunjukkan beberapa ekonomi besar termasuk China dan Russia, telah mengalami penguncupan pada suku kedua, sambil menyatakan risiko lebih tinggi 2023.
“Tahun 22 akan menjadi sukar, tetapi mungkin lebih sukar 2023. Risiko kemelesetan meningkat pada 2023,” kata beliau.
Georgieva berkata, pengetatan keadaan kewangan yang berpanjangan akan merumitkan prospek ekonomi global, namun menambah adalah penting untuk mengawal harga yang melonjak.
“Tinjauan global kini lebih heterogen berbanding dua tahun lalu, dengan pengeksport tenaga, termasuk Amerika Syarikat, berada pada kedudukan yang lebih baik, manakala pengimport bergelut.
“Pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan mungkin merupakan “harga yang perlu dibayar” memandangkan keperluan mendesak dan menekan untuk memulihkan kestabilan harga,” katanya.
Beliau turut menyentuh perbezaan risiko yang semakin meningkat antara dasar fiskal dan monetari, dan menggesa negara-negara supaya menentu ukur dengan teliti tindakan tersebut untuk mengelakkan sebarang peluang sokongan fiskal yang menjejaskan usaha bank pusat untuk mengawal inflasi.
“Kita perlu mewujudkan tahap penyelarasan kukuh yang sama antara bank pusat dan kementerian kewangan supaya mereka memberikan sokongan dengan cara yang sangat disasarkan, dan tidak melemahkan apa yang ingin dicapai oleh dasar monetari,” katanya.