Krisis Covid-19 di Indonesia semakin parah, catat lebih 50 ribu kes

Kes Covid-19 di Indonesia kini lepasi 50 ribu kes sehari. - Gambar Reuters

Situasi penularan Covid-19 di Indonesia semakin parah apabila kes harian mencatatkan lebih 50,000 kes baharu hari ini, ia jumlah tertinggi direkodkan sejak wabak itu dikesan.

Menurut laporan Bernama, data yang disiarkan di laman Twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia hari ini, sebanyak 54,517 kes baharu direkodkan, menjadikan jumlah kes keseluruhan kini meningkat kepada 2,670,046 kes.

Sebanyak 991 lagi kematian direkodkan bagi tempoh 12 tengah hari semalam hingga 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah yang meninggal dunia akibat virus itu kini meningkat kepada 69,210 kematian.

Provinsi Jakarta mencatatkan jumlah tertinggi kes baharu iaitu sebanyak 12,667 kes, dengan 63 kes kematian bagi tempoh 24 jam.

Menurut kenyataan Polis Metro Jaya (Polis Jakarta), sebanyak 10 jalan utama memasuki kota Jakarta ditutup dan diadakan sekatan ketat bagi mengawal pergerakan orang ramai keluar dan masuk ke provinsi Jakarta.

Hanya yang memiliki surat kebenaran daripada pihak berkuasa sahaja dibenarkan keluar masuk.

Pemerintah Indonesia sebelum ini menetapkan bermula 3 Julai lepas hingga 20 Julai ini, PPKM Darurat dikuatkuasakan di Pulau Jawa dan Bali.

Semalam, Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati dalam satu kenyataan berkata PPKM Darurat diperpanjangkan selama enam minggu lagi.

Antara peraturan PPKM Darurat adalah penutupan pusat-pusat membeli belah, penerapan 100 peratus bekerja dari rumah bagi sektor kurang penting, penutupan rumah-rumah ibadat, pembelajaran dari rumah sepenuhnya, larangan makan di restauran, kedai makan atau warung dan tempat-tempat atau pusat pelancongan dan reakrasi ditutup.

POPULAR