KPWKM cuba laksana langkah beku akaun suami tak bayar nafkah tahun ini

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan berbincang lanjut dengan kementerian dan agensi yang berkaitan untuk melaksanakan tindakan membekukan akaun bekas suami yang tidak membayar nafkah.

Menteri berkenaan Datuk Seri Rina Mohd Harun yang menyambut baik pengumuman itu berkata KPWKM akan cuba melaksanakan langkah itu pada tahun ini berdasarkan kerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan, menurut laporan Bernama.

“Kementerian akan membantu selaraskan supaya mereka yang menjadi mangsa dan patut mendapat hak akan diberikan keadilan sewajarnya. Justeru kementerian akan adakan perbincangan lanjut dengan kementerian dan agensi yang berkaitan.

“Oleh kerana pengumuman sudah dibuat, sekarang tunggu pelaksanaan dan kita akan cuba laksanakan tahun ini juga berdasarkan daripada perbincangan dan pelaksanaan dengan agensi berkaitan,” katanya semasa sidang media.

Rina terdahulu melancarkan wajah baharu Hospital Bersalin dan Poliklinik Pusrawi di Kota Damansara hari ini.

Jelasnya, kaum isteri berhak mendapat pembelaan sewajarnya ekoran tindakan tidak bertanggungjawab mengabaikan hak mereka.

“Berdasarkan maklumat KPWKM, ramai bekas suami yang tidak membayar nafkah kepada bekas isteri.

“Jadi melalui pengumuman ini mereka yang berhak akan mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya lagi.

Beliau berkata bekas isteri yang mendapati nafkah mereka tidak dibayar boleh mengadu di Talian Kasih 15999 atau platform KPWKM yang lain.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 mengumumkan akaun bank bekas suami akan dibekukan jika mereka ingkar perintah mahkamah untuk membayar nafkah kepada bekas isteri.

Jelasnya, perkara itu antara yang diputuskan kerajaan sebagai pembelaan terhadap golongan wanita termasuk kes mahkamah yang dimenangi kaum hawa dalam kes tuntutan nafkah.

Selain itu, Ismail Sabri berkata isteri yang kematian suami diberikan kebenaran bekerja dari rumah sewaktu tempoh idah (empat bulan 10 hari) dan majikan tidak boleh memaksa mereka bekerja di pejabat sebagai menghormati keadaan mereka sehingga tamat idah.

BERITA BERKAIT
POPULAR