
Datuk Dr Radzi Jidin.
Bekas menteri pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin membidas dakwaan Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman yang menuding jari kepada kerajaan sebelum ini berkait pembangunan sekolah di kawasannya.
Pada persidangan Dewan Rakyat semalam, Ahli Parlimen DAP itu menuduh kawasannya dianaktirikan oleh kerajaan sebelum ini susulan tiada pembangunan sekolah baharu sejak 20 tahun lalu.
Menurut Mohd Radzi, dakwaan tersebut jelas tidak benar susulan beberapa sekolah terbabit dengan pembinaan bangunan baharu.
“Semasa perbahasan Ganabatirau semalam beliau ada menyentuh berkaitan kawasan Klang tidak diberi perhatian oleh kerajaan terdahulu. Sebagai salah seorang menteri pendidikan terdahulu, saya cuba mencelah untuk memberikan penjelasan namun, tidak diberikan ruang.
“Tuduhan YB Klang bahawa kawasan tersebut dianaktirikan adalah tidak benar, khususnya sewaktu saya di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya melalui kenyataan di Facebook.
Jelasnya projek pembinaan bagi sekolah baharu mengikut prosesyang telus dan mengambil kira kepadatan penduduk di satu-satu kawasan.
“Untuk makluman YB Klang, ketika saya di KPM antara sekolah yang lulus di RP1-RMK12 dan RP2-RMK12 di Klang adalah SMK Kota Kemuning (2), Klang melibatkan pembinaan baharu 42 bilik darjah, SK Bukit Raja, Klang bagi pembinaan baharu 36 bilik darjah dan SMK Meru (2), Klang bagi pembinaan baharu 42 bilik darjah.
“Selain itu terdapat dua projek pembinaan bangunan baharu iaitu SK Pulau Indah, Klang untuk bangunan baharu 12 bilik darjah dan dewan terbuka kemudian SMK Meru, Klang melibatkan bangunan baharu yang mengandungi lapan bilik darjah PPKI juga kemudahan lain,” katanya
Tambahnya, “tidak timbul isu menganaktirikan siapa-siapa. Saya percaya proses yang sama akan diteruskan oleh KPM pada masa akan datang.”