KPM beri kelulusan kepada 3 syarikat bekal kit saringan

Tiga syarikat menerima Surat Setuju Terima daripada Kementerian Pendidikan (KPM) bagi membekalkan kit ujian saringan kendiri COVID-19 untuk sekolah pada 13 Sept lepas dengan nilai kontrak keseluruhan berjumlah RM9.72 juta.

Menterinya Datuk Dr Radzi Jidin berkata perkara itu diputuskan selepas Jawatankuasa Rundingan Harga KPM mendapati tiga syarikat itu berjaya memenuhi asas pertimbangan yang telah ditetapkan.

Beliau berkata penghantaran kit ujian saringan kendiri COVID-19 itu disempurnakan oleh semua syarikat ke 140 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) ke seluruh negara pada 25 Sept lepas untuk sesi pembukaan sekolah pada Oktober hingga Disember 2021.

“Asas pertimbangan untuk pemilihan syarikat adalah seperti kit ujian saringan kendiri COVID-19 menepati spesifikasi yang ditetapkan, harga tawaran yang menguntungkan kerajaan, nilai tambah yang ditawarkan oleh pihak syarikat.

“Pertimbangan lain adalah keupayaan kewangan syarikat dalam melaksanakan pembekalan dalam kadar segera dan keupayaan syarikat untuk membuat penghantaran ke 140 PPD dan JPN seluruh negara sebelum atau pada 26 Sept 2021,” katanya di Dewan Rakyat lapor Bernama hari ini.

Beliau menjawab soalan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) yang ingin tahu butiran proses perolehan kit ujian kendiri untuk sekolah termasuk kos yang dikeluarkan oleh kementerian.

Radzi berkata perolehan itu dibuat secara rundingan terus atas faktor kesegeraan memandangkan kit ujian saringan kendiri COVID-19 ini perlu dibekalkan di sekolah sebelum sesi persekolahan bermula pada 3 Okt lepas.

KPM, katanya telah mengemukakan permohonan untuk melaksanakan perolehan itu secara rundingan terus pada 9 Ogos dan telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) pada 1 Sept.

“Antara syarat yang ditetapkan MoF kepada KPM adalah seperti syarikat yang dilulus dan disenaraikan oleh Medical Devices Authority (MDA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta berdaftar dengan MoF di bawah kod bidang yang bersesuaian.

“Selain itu, KPM juga menetapkan supaya kit ujian saringan kendiri COVID-19 yang menggunakan air liur (saliva) sahaja yang akan dipertimbangkan. Ini kerana penggunaan kit ini adalah lebih mudah dan selamat untuk murid,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR