Kos  PRN Sarawak sebanyak RM150 juta

Dianggarkan kira-kira sebanyak RM150 juta diperlukan bagi membiayai kos mengadakan pilihan raya negeri (PRN) Sarawak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Wan Datuk Seri Junaidi Tuanku Jaafar.

Perbelanjaan tersebut melibatkan kos perolehan peralatan pilihan raya, pembangunan ICT, logistik dan elaun pekerja pilihan raya.

“(Kos ini) merangkumi perolehan peralatan pilihan raya, pembangunan ICT, logistik, elaun petugas dan keperluan-keperluan lain yang berkaitan termasuk keperluan peralatan Covid-19 dan mengambil kira pelaksanaannya mengikut garis panduan pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan pilihan raya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Wan Junaidi ditanya Ahli Parlimen Sarikei, Wong Ling Biu (Pakatan Harapan- Sarikei) yang meminta kerajaan mendedahkan jumlah peruntukan untuk pilihan raya Sarawak akan datang.

Pengundi dijangka memilih pada bulan depan susulan Dewan Undangan Negeri dibubarkan selepas Yang di-Pertuan Agong menarik balik darurat tempatan di Sarawak

Pilihan raya ini ketika Sarawak masih menyaksikan jumlah kes Covid-19 yang tinggi, dengan 416 kes baru dan 13 kematian dicatatkan semalam.

Sebelum Perintah Darurat seluruh negara ditamatkan pada 11 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan Proklamasi Darurat bagi Sarawak bermula 2 Ogos lalu hingga 2 Februari tahun depan berikutan ancaman kepada kesihatan awam disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Berikutan pengisytiharan ini, PRN-12 yang sepatutnya diadakan selepas tempoh DUN Sarawak tamat pada 7 Jun lalu ditunda ke tarikh lain selepas Proklamasi Darurat itu ditamatkan.

Justeru, selepas penamatan Proklamasi Darurat pada Rabu baru-baru ini, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari bagi menjamin hak rakyat Sarawak untuk memilih kerajaan selaras dengan amalan demokrasi berparlimen.

BERITA BERKAIT
POPULAR