
Pilihan Raya Umum Ke-15 akan berlangsung pada 19 November.
Dua Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang sudah dilaksanakan membabitkan kos perbelanjaan berjumlah RM141 juta.
Dua PRN tersebut yang berlaku ekoran pembubaran oleh kerajaan dipimpin UMNO-Barisan Nasional (BN) menelan belanja yang besar menggunakan wang rakyat, ia meliputi kos proses perolehan, pembelian dan sewaan peralatan pilihan raya, kenderaan, pembangunan sistem maklumat dan teknologi, logistik, elaun petugas serta keperluan lain, menurut laporan Bernama.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, ia juga meliputi perbelanjaan berkaitan seperti peralatan mengikut garis panduan pencegahan Covid-19.
“Kos bagi melaksanakan PRN Melaka Ke-15 ialah sebanyak RM45 juta, manakala PRN Johor pula RM96 juta,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2021) 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah melantik 273 peserta sebagai ‘Associate Trainer’ Akademi Pilihan Raya (AAT), setakat ini.
Katanya, ia bagi melayakkan mereka berperanan sebagai penceramah dan jurulatih yang menyampaikan maklumat mengenai proses pilihan raya di negara ini.
Beliau berkata, mereka akan memberi pendidikan berhubung perkara itu kepada pelajar sekolah serta golongan belia di institusi pendidikan seluruh negara.
“Saya juga hendak menyentuh berkenaan memberi pendidikan kepada pengundi, terutama golongan belia. SPR melalui Akademi Pilihan Raya (APR) menjalinkan kerjasama strategik dengan beberapa kementerian untuk melaksanakan program pendidikan pengundi bertujuan memberi kefahaman mengenai proses pilihan raya di Malaysia.
“Ia termasuk mempersiapkan golongan belia agar menjadi warganegara yang bertanggungjawab dengan membabitkan diri dalam pilihan raya,” katanya.