Konvokesyen anak di UK: Isa Samad mohon pelepasan sementara pasport

Permohonan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad untuk mendapatkan sementara pasportnya bagi membolehkan beliau menghadiri majlis konvokesyen anak perempuannya di sebuah universiti di United Kingdom (UK) akhir bulan ini, akan diputuskan Mahkamah Rayuan, 9 Mac ini.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz ketika dihubungi pemberita berkata mahkamah menetapkan tarikh itu pada pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Penolong Pendaftar Nurul Azrina Mohamed Yusof hari ini, lapor Bernama.

“Tan Sri Isa memfailkan permohonan untuk mendapatkan sementara pasportnya pada 24 Februari lalu,” katanya sambil menambah mahkamah juga menetapkan 11 Mei ini untuk pengurusan kes selanjutnya.

Pada 3 Februari 2021, Isa, 72, disabitkan atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dihadapinya menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara 6 tahun sahaja setelah Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan) memerintahkan semua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Hakim Mohd Nazlan membuat keputusan itu setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap kesemua pertuduhan ke atas Mohd Isa.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memfailkan notis rayuan terhadap sabitan salah serta hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya pada 4 Februari 2021.

BERITA BERKAIT
POPULAR