
Kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur dikaitkan dengan tindakan pasangan menghina agama Islam baru-baru ini. - Gambar FB
Kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur – The Crackhouse Comedy Club – yang terbabit dalam kontroversi penghinaan terhadap Islam oleh pesertanya baru-baru ini, disimbah cat merah dan hitam.
Menurut laporan The Star, papan tanda dan bidai kelab itu disimbah cat merah dan hitam yang turut terkena premis bersebelahan.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata polis dimaklumkan oleh orang awam pada jam 7 pagi dan laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu.
“Saya mengesahkan bahawa laporan polis telah dibuat dan kita akan menyiasat.
“Kami menggesa orang ramai untuk mengelak daripada mengambil tindakan sendiri,” katanya dipetik sebagai berkata.
Kelab komedi itu menjadi pusat kontroversi berpunca daripada persembahan amatur Siti Nuramira Abdullah yang disifatkan menyinggung perasaan umat Islam.
Wanita terbabit telah didakwa di Mahkamah Sesyen kerana mencetuskan kebencian agama mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan dan kini dibebaskan dengan jaminan.
Dia juga bakal didakwa di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, esok.
Teman lelakinya, Alexander Navin Vijayachandran, yang didakwa memuat naik video persembahannya dalam talian, dituduh mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan “penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian”.
Polis kemudian turut menahan pengasas bersama kelab itu kerana menghasut susulan video persembahan lama dimuat naik dalam talian. Dia juga disiasat di bawah Seksyen 233 kta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung video yang sama.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini telah mengeluarkan arahan untuk menutup sementara tempat itu, selepas mengatakan kelab itu beroperasi di bawah permit yang tidak wajar.
Kumpulan Islam telah menuntut agar kelab itu ditutup terus susulan insiden berkenaan.