Kontraktor tak mengaku salah cabul tiga wanita

Seorang kontraktor pembinaan hari ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencabul kehormatan tiga wanita di kawasan pusat komersil Tamarind Square di Cyberjaya pada Disember tahun lepas dan bulan ini.

Tertuduh Fariz Sollehim Mohamed, 20, membuat pengakuan itu selepas tiga pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Majistret Ayuni Izzati Sulaiman di Mahkamah Majistret Sepang, hari ini, lapor Bernama.

Dia didakwa melakukan cabul pada 21 Disember lalu pada jam 11.46 pagi di tempat letak kereta Tamarind Square terhadap seorang wanita berumur 32 tahun dan dua lagi kes cabul pada 5 April lepas di tempat sama terhadap dua wanita, masing-masing berumur 35 tahun dan 27 tahun.

Lelaki yang berasal dari Selangor itu dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, ibu bapa tertuduh kelihatan sedih ketika mengikuti prosiding tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman manakala Fariz Sollehim diwakili pelatih dalam kamar Nur Ashiqeen Mohd Sultan dari Tetuan Shah & Hurrie.

Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali, serta tidak mengganggu mangsa dan saksi kejadian.

Mahkamah menetapkan 30 Jun ini sebagai tarikh perbicaraan.

BERITA BERKAIT
POPULAR